Ahad, 26 Januari 2014

Kitaran Haid Tentukan Waktu Subur

Haid yang tidak teratur sering dianggap sebagai salah satu punca wanita sukar hamil kerana waktu subur sukar ditentukan.


     Umum sering menganggap kitaran haid normal ialah setiap 28 hari.Hakikatnya,kitaran haid yang lazim adalah diantara 25 hingga 35 hari.


     Seawal hari pertama haid,sekumpulan telur baru (8-15 telur) telah memulakan proses pembesaran.Dalam kalangan wanita subur,hanya satu telur akan terus membesar dan mengalami ovulasi (tanpa rangsangan ubat).Telur-telur yang lain akan mengalah dan tidak menjadi.Bagi wanita yang tidak subur,tiada satu pun telur yang akan membesar.

     Pada masa yang sama,fasa proliferatif di mana lapisan endometrium di bahagian paling dalam dinding rahim akan menebal kesan rangsangan hormon estrogen.Setelah ovulasi,hormon progesteron yang dihasilkan oleh kantung luteal,ovari akan mematangkan lapisan endometrium (fasa luteal).Ini sebagai persediaan menerima kehadiran embrio.Jika tidak hamil,ia akan gugur sebagai haid.

     Tempoh masa proliferatif tidak semestinya sama bagi setiap wanita subur.Namun,tempoh fasa luteal biasanya sama iaitu 14 hari.Ini bermakna,setelah 14 hari berlaku ovulasi,tempoh luteal tamat dan wanita akan haid jika tidak hamil.Ini turut bererti,waktu subur lebih tepat dikira sekitar 14 hari sebelum jangkaan haid berikutnya.

     Waktu ovulasi adalah waktu paling subur.Jika kitaran haid wanita adalah setiap 28 hari,waktu ovulasinya adalah pada hari ke-14 (28 tolak 14).Bagi wanita yang kitaran haidnya 35 hari,waktu ovulasinya adalah pada hari ke-21 (35 tolak 14).

     Ada wanita yang menyangka jika haid mereka datang pada setiap haribulan yang sama,maka kitaran haidnya adalah tetap.Ini satu tanggapan yang tidak tepat kerana ada bulan yang mempunyai 30,31,28 atau 29 hari.

     Sebaik-baiknya wanita mencatat hari pertama haid setiap kitaran selama enam bulan untuk mengetahui jumlah hari kitaran paling pendek dan paling panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan