Selasa, 28 Januari 2014

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kesuburan

Ada banyak faktor yang boleh menghalang kehamilan.Dalam kalangan pasangan suami isteri yang subur,peratusan kejayaan hamil selepas percubaan pertama hanyalah sekitar 25%.Ini bermakna,75% pasangan perlu mencuba beberapa kali sebelum berjaya hamil.Ramai yang tertanya-tanya mengapa masih gagal hamil walaupun sudah beberapa kali mencuba tanpa jemu.

Antara faktor penyebabnya ialah:

Usia Wanita

Dalam zaman yang serba moden ini,ramai wanita yang mendirikan rumah tangga hanya selepas berjaya memperoleh kerjaya yang diinginkan.Akibatnya,usia sudah 'banyak',sekaligus mengurangkan potensi untuk hamil.Sememangnya,usia boleh mengurangkan kemampuan seseorang wanita untuk hamil.Setelah berusia 30 tahun,tahap kesuburan wanita semakin berkurangan dari setahun ke setahun.

Kesihatan Pasangan

Seperti wanita,tahap kesuburan lelaki juga merosot apabila usia mereka semakin meningkat.Walau bagaimanapun,kemerosotan tersebut tidaklah secepat wanita.Biasanya,tahap kesuburan lelaki mulai menurun selepas mencecah usia 40 tahun.

Gaya Hidup

Pelbagai faktor yang berkaitan dengan gaya hidup seseorang memberikan kesan terhadap keupayaan seseorang wanita untuk hamil.Antaranya ialah faktor pemakanan,senaman,tahap stres yang dialami,tabiat tidur dan macam-macam lagi.

Anda mestilah benar-benar sihat untuk hamil.Hentikan tabiat merokok,jauhi minuman keras,amalkan diet seimbang setiap hari,tidur yang cukup dan senaman secara berkala.

Stres Yang Melampau

Tekanan perasaan yang melampau boleh menutup peluang untuk memiliki cahaya mata.Sama ada anda berusaha terlalu keras untuk mendapatkan anak ataupun terlalu komited dengan kerjaya,kedua-duanya boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil.Semakin tertekan pasangan suami isteri itu,semakin sukar bagi mereka untuk mendapatkan anak.

Pakaian

Pakaian lelaki terutamanya seluar dan seluar dalam yang ketat boleh mengurangkan sperma berbanding dengan lelaki yang berpakaian longgar.

Masalah Hormon

Sesetengah wanita tidak ada masalah untuk hamil,tetapi tubuh mereka tidak berupaya menghasilkan hormon progesteron yang mencukupi bagi mengekalkan kehamilan.Oleh itu,sekiranya anda risau tentang kemungkinan adanya masalah hormon ataupun masalah fizikal yang menyukarkan kehamilan,segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Bilangan Sperma Yang Rendah

Ada sesetengah lelaki bermasalah untuk menghasilkan sperma.Akibatnya,isteri mereka sukar hamil.Oleh yang demikian,suami perlu menjalani beberapa ujian terhadap sperma mereka bagi mengetahui punca sebenar.

Pengambilan Kafein

Jika gemar mengambil lebih satu atau dua cawan kopi setiap hari,anda sebenarnya mengurangkan potensi diri untuk hamil.

Kajian mendapati bahawa jumlah kafein yang ada di dalam tubuh boleh mengganggu kemampuan telur melekat dalam uterus.

Jika masih gagal hamil setelah beberapa bulan mendirikan rumah tangga,segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.Dengan bantuan peralatan moden serta kemajuan sains dan teknologi,memiliki anak daripada benih sendiri adalah tidak mustahil.Apa yang harus dilakukan ialah membuat pemeriksaan kesihatan di klinik untuk bantuan. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan