Jumaat, 31 Januari 2014

Apa Akan Berlaku?

Kehamilan diukur mengikut ukuran trimester dari hari pertama haid terakhir hingga minggu 40 kehamilan.Trimester pertama kehamilan bermula dari minggu 1 hingga minggu 12 atau tiga bulan.

     Namun harus diingat,tempoh tiga bulan terawal ini atau trimester pertama merupakan tahap yang paling kritikal bagi perkembangan kehidupan janin dalam kandungan.Penjagaan rapi harus dititikberatkan kerana risiko seperti keguguran amat tinggi ketika ini.Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan banyak perubahan diri yang akan dirasai oleh bakal ibu.Dua belas minggu pertama merupakan saat yang menyeronokkan,menakjubkan dan ada kalanya menakutkan.

     Sesetengah perubahan terjadi di dalam badan dan petandanya ditunjukkan dengan jelas di luar badan.Paling jelas,perubahan pada payu dara,perut dan kulit.Lain-lain perubahan yang mungkin kelihatan ialah kelakuan dan emosi ibu hamil.

Sakit Kepala Dan Pening

Kadangkala sakit kepala memberi masalah kepada ramai wanita di awal kehamilan.Puncanya tidak dapat dipastikan,tetapi seperti lain-lain ketidakselesaan pada trimester pertama,perubahan paras hormon dan peningkatan peredaran darah mungkin menjadi faktornya.Lain-lain penyebab mungkin akibat tekanan dan keletihan berikutan penyesuaian emosi dan fizikal bakal ibu terhadap kehamilan.

     Jika anda seorang penggemar kopi yang bertindak mengurangkan atau berhenti mengambil minuman berkafein itu sebaik disahkan hamil,perubahan itu turut boleh menyebabkan sakit kepala untuk beberapa hari.

     Pening merupakan masalah biasa dalam kalangan wanita hamil.Tekanan,keletihan dan kelaparan juga boleh menjadi punca pening.Pening yang serius di awal kehamilan juga mungkin petanda kehamilan ektopik terutamanya jika disertai sakit di bahagian abdomen dan pendarahan vagina.

     Jalan terbaik,rujuk doktor sebelum mengambil sebarang ubat sakit kepada trimester pertama.Walaupun ubat seperti paracetamol selamat diambil ketika hamil,namun sebaik-baiknya elakkan pengambilan sebarang ubat pada trimester pertama ini kecuali jika benar-benar perlu.

     Senaman yang menenangkan dapat membantu mengurangkan sakit kepala sekali gus menyegarkan tubuh badan.Anda hanya perlu menutup mata dan membayangkan suasana yang tenang dan aman.

     Cara lain bagi mengurangkan sakit kepala ialah dengan menekap balutan tuala hangat di dahi,leher dan belakang badan.Rehat secukupnya,makan dengan teratur dan senaman dapat mengurangkan tekanan dan membantu para ibu melalui trimester pertama dan trimester seterusnya dengan baik.

Keletihan

Masuk minggu kelima,tubuh akan lebih mudah berasa letih.Rasa mual dan loya juga mula menyerang tanpa diduga.Jika anda merasai keletihan ini,tidak ada yang lebih baik dilakukan selain berehat.Tidur seketika dapat mengurangkan rasa ketidakselesaan.

     Jika bekerja,gunakan masa rehat untuk tidur atau berbaring seketika.Bagi ibu yang hamil kali kedua dan seterusnya,pastikan suami membantu menguruskan rumah dan anak-anak.Sokongan dan kefahaman daripada semua pihak amat penting ketika ini.

Kekerapan Buang Air Kecil

Peningkatan saiz rahim pada tiga bulan pertama serta fungsi buah pinggang menyebabkan anda semakin kerap hendak membuang air kecil.

     Rahim yang membesar akan menekan pundi kencing.Memasuki bulan keempat,rahim sudah mengembang menyebabkan tekanan pada pundi kencing mula berkurangan.

     Tidak perlu khuatir dengan hal ini.Buanglah air kecil selagi anda merasakannya.Menahan air kencing akan menyebabkan masalah jangkitan air kencing.Condong sedikit ke hadapan sewaktu membuang air kencing membantu anda mengosongkan pundi kencing.

     Jika sering terkencing,pemakaian pantyliner mampu mengurangkan ketidakselesaan.Amalkan senaman lantai pelvik.Ia dapat membantu mengawal lelehan air kencing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan