Sabtu, 15 Februari 2014

Corak Pergerakan Bayi


Merasa bayi berpusing,menggeliat,menumbuk,menendang dan tersedu merupakan antara fasa kehamilan yang bakal dilalui oleh wanita hamil.Persoalan seperti 'Adakah bayi saya cukup menendang atau terlalu banyak menendang' sering muncul di minda,apatah lagi bagi mereka yang merasai pengalaman mengandung ini untuk kali pertama.

     Kebanyakan wanita akan mula merasai pengalaman tendangan pertama bayi sekitar minggu ke-13 hingga ke-25.Sesetengahnya dapat merasai bayi bergerak seawal minggu ke-13 hingga ke-16.Pergerakan bayi ini dikenali sebagai quickening dan sering digambarkan sebagai getaran.Kadangkala sukar untuk menentukan sama ada apa yang dirasai itu angin atau pergerakan bayi.Namun,lama-kelamaan bakal ibu pasti mampu mengenal pasti corak pergerakan bayinya.

     Ibu yang pertama kali hamil mungkin tidak dapat merasai pergerakan ini seawal yang dialami oleh ibu yang berpengalaman hamil.Ketahuilah,ada wanita hamil yang langsung tidak berpeluang melalui pengalaman ini sehingga kehamilannya mencecah minggu ke-18 hingga ke-20.

     Awal usia kehamilan hingga penghujung tiga bulan yang pertama merupakan masa di mana perkembangan janin pantas berlaku.Walau bagaimanapun,jangan menjangkakan sebarang pergerakan bayi pada waktu ini.Ketika ini,bayi masih terlalu kecil untuk membolehkan anda merasainya.Biarpun begitu,ketahuilah,di dalam rahim,dia sudah boleh melonjak cuma anda masih belum dapat merasainya.

     Masuk trimester kedua,bayi sudah mampu sekurang-kurangnya menghisap ibu jarinya sendiri,menendang dan menghentam.Sesetengah wanita yang terlalu kurus atau yang pernah hamil sebelum ini mungkin boleh merasai pergerakan pertama bayinya seawal bulan keempat.Namun,kebanyakan wanita tidak perasan atau mengenal pasti sentakan dan pergerakan pantas bayi di mana ia dirasai seperti angin atau kekejangan otot.

     Dalam tempoh ini,kebanyakan wanita sudah mula dapat merasai kegelisahan dan rasa gemuruh bayi.Pergerakan bayi terasa seakan-akan gerakan akrobatik sebaik sahaja ototnya kuat dan kemahiran motornya berkembang.Namun,dia masih terlalu kecil untuk melakukan pergerakan tonggeng terbalik.

     Apabila anda mula merasai 'karate' pertamanya,jangan panik jika ia berulang semula selepas beberapa jam.Malah,ada juga yang merasainya selepas sehari dua.Pada tahap ini,saiz bayi masih kecil.Jadi,adalah normal jika anda tidak merasai pergerakan yang tetap.Walau bagaimanapun,jika tidak merasai sebarang pergerakan sehingga pertengahan bulan kelima,pastikan doktor melakukan ujian imbasan ultrabunyi bagi memantau keadaan dan perkembangan semasa bayi.

     Bayi akan mula aktif bergerak setelah usianya mencecah enam bulan.Pergerakan kakinya lebih mengikut irama dan bakal ibu mula perasan tepukan kaki si kecil.Anda mungkin perasan bayi lebih aktif sewaktu anda berehat terutamanya di waktu malam.Malah,selepas mengambil snek pun,bayi anda akan menjadi aktif kerana kandungan gula dalam darah memberi tenaga tambahan kepadanya.Jika anda berasa gemuruh,pengalaman yang sama dapat dirasai bayi kerana adrenalin memberi kesan yang sama kepada bayi.

     Memasuki usia kandungan tujuh bulan,rahim menjadi semakin sempit.Bayi masih ada sedikit ruang untuk berpusing dan melambung.Si kecil juga semakin kuat.Tumbukannya boleh membuatkan anda terkejut.

     Harus diingat,bayi adalah individu.Corak pergerakannya dengan bayi yang lain adalah berbeza.Jadi,jangan sesekali membandingkan pergerakannya dengan bayi dalam kandungan wanita lain.Jangan pula rasa tertekan jika bayi anda kurang aktif.

     Berat bayi yang semakin bertambah pada usianya lapan bulan menjadikan ruang di dalam rahim semakin sempit.Pergerakan akrobatiknya semakin berkurangan tetapi anda tetap boleh merasainya menggelang-geliut dan berputar.

     Pada ketika ini juga,bakal ibu mungkin boleh merasai tusukan siku dan lutut bayi,tetapi pada usia bayi sembilan bulan,anda tidak akan dapat lagi merasai tendangan yang menumbuk-numbuk,hanya lebih kepada senggutan dan sepakan hingga mampu menyentakkan anda.Malah,anda mungkin mengalami kesakitan setiap kali kaki bayi mengenai rusuk anda.Untuk melegakannya,cuba ubah posisi atau miringkan pelvik anda.

     Pada minggu-minggu terakhir,bayi akan berada di dalam mangkuk pelvis,bersiap sedia untuk dilahirkan.Kepala bayi dirasakan seperti sebiji tembikai yang menekan lantai pelvis.

     Apabila kepala bayi sudah turun ke dalam pelvis,anda akan berasa sedikit 'ringan' disebabkan oleh kurangnya tekanan yang dahulunya terjadi di bawah tulang rusuk.Pada peringkat ini,anda tidak lagi merasai pergerakan yang biasa dilakukan oleh bayi.Sebaliknya,anda mungkin mengalami tendangan yang tidak henti-henti di bawah tulang rusuk sama ada di sebelah kiri atau kanan (dipengaruhi oleh posisi bayi).



Jumaat, 14 Februari 2014

Perkembangan Janin Minggu Ke Minggu

Pembentukan janin merupakan ciptaan ALLAH yang paling mengagumkan.Fenomena pembentukan janin di saat pertemuan telur ibu dan sperma bapa sehinggalah usianya 36 minggu dihuraikan seperti di bawah:

Dua Jam Selepas Persetubuhan

Pertemuan telur ibu dan sperma bapa menyaksikan kejayaan satu-satunya sperma yang dapat sampai ke ovum dan menekan dinding luarnya selepas berjuang bersama sekurang-kurangnya 20,000 sperma lain.Sperma tersebut perlu menembusi bahagian dalam sanctum iaitu bahagian dalam sel ovum.Apabila kepala sperma berjaya memasuki ovum,ekor serta bahagian tengahnya bergerak penuh tenaga.Sperma bekerja seperti sebuah gerudi di mana kepalanya berpusing mengikut pergerakan ekornya.Sebaik sahaja keseluruhan kepala sperma memasuki dinding ovum,ia akan menekan membran sel dalaman.Isyarat kimia dari membran dalam ovum ke dinding menunjukkan ia menjadi kebal terhadap sperma lain.Ekor sperma akan terpisah dari kepalanya bila sperma sudah berada di dalam kulit sel ovum.

Minggu Ke-4

Janin kini dipanggil embrio.Dalam rahim janin ini sebesar kuaci kecil.Embrio ini terbahagi kepada tiga lapisan yang kemudian akan membentuk organ-organ dan tisu-tisu.Dua lipatan tisu yang bakal menjadi sepasang telinga akan terbentuk di bahagian bawah kedua-dua belah kepala.Tiub saraf,di mana otak,tulang belakang serta saraf akan terbentuk serta membesar di lapisan atas.Jantung dan sistem peredaran darah mula terbentuk di lapisan tengah.Lapisan ketiga pula membentuk paru-paru,usus dan sistem awal urin.Sementara itu,versi awal plasenta iaitu vili chorionic dan tali pusat yang berfungsi menyalurkan makanan dan oksigen kepada bayi sudah mula bekerja.

Minggu Ke-5

Jantung embrio sudah mula berdegup dan mengepam darah.Jantung embrio terbahagi kepada dua ruang.Saiz embrio adalah sekitar satu perempat inci atau setengah sentimeter panjang dan lebih mirip anak berudu daripada manusia.Organ utamanya termasuk buah pinggang dan hati mulai membesar.Tiub saraf yang menghubungkan otak dan tulang belakang akan tertutup minggu ini.Tunas atas dan bawah embrio mulai tumbuh dan akan membentuk lengan serta kaki bayi.Usus juga sedang berkembang.Di bawah permukaan akan membentuk mulut bayi,lipatan kecil di mana leher dan rahang bawah mula terbentuk.

Minggu Ke-6

Berakhirnya minggu ini,saiz bayi seperti saiz kacang.Satu tanda hitam dan bentuk kepala yang besar di mana pembentukan awal mata dan hidung kelihatan.Telinga juga mula kelihatan.Lengan dan kaki pula sudah mula menunjukkan tunasnya.Tangan dan kakinya berbentuk dayung dan jari-jemarinya mula terbentuk.

Minggu Ke-7

Bayi anda masih bergelar embrio kerana ia masih kekal dalam ekor kecil,yang akan hilang dalam masa beberapa minggu.Pembentukan jantung dan otak semakin rumit,kelopak mata mula terbentuk,hujung hidung juga sudah timbul dan lengan mula membengkok sedikit.

Minggu Ke-8


Ekor yang kecil sudah menghilang.Daripada embrio,ia sudah rasmi dipanggil fetus.Ini adalah peringkat kritikal di mana organ-organ bayi mula terbentuk.Bayi sebenarnya sudah mulai bergerak walaupun anda tidak dapat merasainya.

Minggu Ke-9

Berat bayi kini di bawah 10 gram (g).Semua bahagian tubuh telah ada termasuk tangan,kaki,mata,alat kelamin dan organ-organ lain walaupun belum terbentuk sepenuhnya.

Minggu Ke-10

Bayi kini bersiaz dua kali ganda dalam tempoh tiga minggu mendatang.Dia sudah mula menelan dan menendang dan semua organ utama telah terbentuk sepenuhnya.Organ seks luarnya juga mula kelihatan dan dalam beberapa minggu lagi dapat menunjukkan identiti dirinya sama ada perempuan atau lelaki.

Minggu Ke-11

Bayi sudah terbentuk sepenuhnya di mana saiznya sebesar ibu jari anda.Jejari tangan dan kakinya sudah terpisah dan sesetengah tulangnya beransur kuat.

Minggu Ke-12


Wajah bayi sudah berubah.Mata dan telinganya hampir berada di posisi yang betul.Usus bayi mula bergerak ke dalam kaviti abdominal.

Minggu Ke-13

Rahim semakin membesar,tetapi bayi masih terlalu kecil,kira-kira sebesar separuh pisang.Jantungnya terbahagi kepada ruang kanan dan kiri dan mula berdegup kira-kira 150 kali seminit - kira-kira dua kali kadar kelajuan degup jantung orang dewasa.

Minggu Ke-14

Minggu ini rambut mulai tumbuh di kepala,kening dan seluruh badan bayi.Rerambut ini dipanggil 'lanugo' di mana biasanya akan hilang sebelum lahir.Sesetengah ototnya mula berfungsi.Bayi sudah boleh menggenggam,melirikkan mata,berkerut,menyeringai dan menghisap ibu jari.

Minggu Ke-15

Bayi masih lagi terlalu kecil dan boleh muat dalam tapak tangan anda.Bayi mula sensitif pada cahaya dan mengalami sedu tetapi anda tidak dapat mendengarnya kerana sistemnya dipenuhi cecair berbanding udara.

Minggu Ke-16

Saiz bayi anda pada minggu ini sebesar buah pir.Pengedaran darah dan saluran air kencingnya juga berfungsi.Bayi mungkin sudah bermain dengan tali pusatnya.

Minggu Ke-17

Mata bayi sudah boleh melihat ke hadapan,telinga sudah berada di posisi betul dan tulang rawannya yang bakal menjadi rangka sudah mula keras seperti tulang.

Minggu Ke-18

Bayi mencecah 15 cm dari kepala ke kakinya.Dia sudah boleh merasa dan mendengar degup jantung ibu dan aliran dalam sistem pencernaan ibunya.Tidak lama lagi dia mampu mengesan bunyi dari luar rahim dan mengenal pasti suara anda.

Minggu Ke-19

Ini adalah masa genting pembentukan deria bayi di mana ia mengambil tempat di beberapa kawasan otak.Jika bayi perempuan,dia sudah mempunyai enam juta telur di dalam ovarinya dan menyusut kepada sejuta sebaik dilahirkan.

Minggu Ke-20

Bayi anda mengalami peningkatan berat badan dan bertukar menjadi sesuatu yang licin kerana diselaputi bahan putih berlemak dipanggil vernix caseosa untuk melindungi kulitnya ketika berada dalam cecair ketuban.

Minggu Ke-21

Bayi sudah berukuran 27 sm.Kelopak mata dan keningnya juga nampak sempurna,kuku kaki kini menutupi hujung jarinya.Berwaspadalah dengan apa yang dikatakan kerana bayi anda mungkin mendengarnya.

Minggu Ke-22

Bayi sudah kelihatan seperti miniature bayi yang baru lahir.Bibirnya semakin jelas kelihatan,matanya sudah terbentuk biarpun iris masih kurang pigmen.Pankreas untuk pengeluaran hormon sudah terbentuk dan tanda gigi pertama sudah kelihatan di barisan gusinya.

Minggu Ke-23

Bayi anda berukuran kira-kira 29 sm.Saluran darah dalam paru-paru sudah bersedia untuk pernafasan dan dia boleh menelan secara teratur.

Minggu Ke-24

Berat bayi anda kira-kira 99 g atau 22 auns.Kulitnya sangat nipis dan lembut.Badannya semakin membesar dan mengambil ruang yang banyak dalam rahim.

Minggu Ke-25

Bayi mula membuat beberapa pergerakan pernafasan walaupun tiada udara lagi dalam paru-parunya.Deria rasanya terbentuk pantas.Imbasan otak bayi menunjukkan dia memberi tindak balas terhadap sentuhan dan jika cahaya dinyalakan pada perut,bayi akan memusingkan kepalanya.Ini membuktikan saraf optiknya sudah berfungsi.Sarung air ketuban pada minggu ke 24-28 mengandungi cecair sebanyak 750 ml yang membolehkan bayi bergerak bebas.

Minggu Ke-26

Ukuran bayi kira-kira 36 sm/15 inci panjang.Bayi semakin bertindak balas terhadap bunyi-bunyian.

Minggu Ke-27

Anda sudah memasuki peringkat terakhir kehamilan,iaitu trimester ketiga.Bayi semakin membesar dan memenuhi ruang dalam rahim.Dia juga sudah boleh membuka dan menutup mata,tidur dan bangun pada waktu yang sama dan boleh menghisap jari dan ibu jarinya.

Minggu Ke-28

Matanya akan terbuka dan kepalanya akan berpaling jika cahaya diarahkan kepadanya,Berinteraksi dengan bayi dalam rahim sama ada membaca atau menyanyi sangat bagus pada masa ini.

Minggu Ke-29

Bayi terus membesar pantas.Kepalanya semakin panjang.Jika anak lelaki,testikalnya akan beralih dari lokasi berhampiran buah pinggang melalui pangkal paha.Jika perempuan,klitorisnya kelihatan menonjol kerana labianya masih belum menutupi.

Minggu Ke-30

Bermula minggu ini,berat badan bayi bertambah lebih cepat.Paru-paru dan salur penghadamannya semakin matang.Dia mungkin boleh membuka dan menutup mata untuk seketika,jadi dia boleh melihat bahagian dalam rahim kita.

Minggu Ke-31

Pergerakan bayi mungkin berubah.Dia mungkin tidak kerap bergerak kerana sudah kekurangan ruang dalam rahim dan tidak boleh membuat gerakan balik kuang.

Minggu Ke-32

Jika bayi lelaki,testikalnya mungkin sudah bergerak ke dalam kantung buah zakarnya.

Minggu Ke-33

Pada penghujung minggu ini,ukuran bayi mencecah 43.7 sm/17.2 inci daripada kepala ke kaki.Kepalanya mungkin sudah menghala ke bawah rahim.Tulang tempurung kepala atau tengkoraknya masih mudah dilenturkan dan belum sempurna bersambung,menjadikannya mudah keluar dari saluran peranakan.

Minggu Ke-34

Jangan risau jika anda bersalin awal,kerana majoriti bayi yang lahir pada usia 35 minggu adalah sihat dan bebas daripada sebarang masalah besar.Paru-paru bayi sudah terbentuk sempurna dan sebarang masalah pernafasan yang dialami mudah dirawat.

Minggu Ke-35

Bayi anda semakin membesar dan sangat sendat di dalam rahim,hingga anda mendapati dia tidak dapat bergerak banyak.

Minggu Ke-36

Tahniah! Kehamilan anda sudah cukup bulan,bermakna bayi yang dinanti-nantikan boleh lahir bila-bila masa.Bayi yang lahir sebelum minggu 37 dikira pramatang manakala yang lahir selepas minggu 42 adalah terlebih matang.Semua bayi berbeza tetapi biasanya bayi yang lahir pada usia 37 minggu mempunyai purata berat 2.86 kg/6.30 paun.



Ahad, 2 Februari 2014

Anatomi Tubuh Mama Hamil

Info

Pada minggu kelapan,fetus sudah seberat 13g (kurang daripada 1/2 aun).Mata,telinga dan telinga tengah yang mengawal keseimbangan mula terbentuk.Saluran darah mula kelihatan.Fetus sudah pandai menendang,tetapi saiznya yang masih kecil menyebabkan tendangannya tidak dapat dirasai oleh ibu.


Setiap wanita hamil mengalami perubahan diri yang berbeza di antara satu sama lain.Bagi mereka yang pertama kali merasai pengalaman ini,info ini mungkin dapat membantu anda menjangka apa yang bakal dilalui sepanjang minggu-minggu kehamilan.

Minggu Ke-12

Ketidakselesaan yang dialami sebelum ini kian lenyap.Bentuk tubuh masih berkeadaan normal memandangkan belum ada peningkatan berat badan.Berat anda hanya akan bertambah sekitar 1.2 kg (jika anda tidak mengalami masalah muntah di awal kehamilan).Bagaimanapun,payudara akan terasa lebih berat dan lembut seperti biasa.Paru-paru,buah pinggang dan jantung pula terpaksa bekerja lebih kuat kerana isipadu darah yang mengalir dalam tubuh mula meningkat.

Minggu Ke-16

Keadaan kini seharusnya lebih bertenaga kerana masalah morning sickness tidak lagi dialami.Masalah pigmentasi pula mungkin timbul di mana puting payudara dan kulit di sekelilingnya bertambah gelap.Dalam pada itu,linea nigra juga lebih jelas kelihatan menegak di sepanjang bahagian tengah perut anda.Saiz payudara akan mula membesar selepas minggu ke-17.Potongan tubuh mula berubah apabila garis pinggang kurang kelihatan bentuknya.Pada masa yang sama,perut mula menonjol.Untuk tiga bulan selanjutnya,wanita hamil adalah digalakkan untuk menambah berat badan di antara 5 hingga 7 kg.

Minggu Ke-20

Diri kelihatan berseri-seri disebabkan peningkatan hormon terutamanya pada bahagian kulit dan rambut yang kelihatan lebih sihat.Walaupum begitu,bagi yang menghadapi masalah pigmentasi kulit,ia akan kelihatan lebih ketara.Namun,anda tidak perlu risau kerana masalah ini akan hilang selepas bayi dilahirkan.Payudara akan mula menghasilkan kolostrium.Jika ada cecair yang keluar daripada payudara,lap bahagian berkenaan,tetapi jangan sesekali memicit untuk mengeluarkan cecair itu.Bahagian atas rahim kini berada pada aras yang sama dengan pusat anda.Sementara itu,sendi dan ligamen yang mula kendur boleh menyebabkan anda mengalami kesakitan di bahagian belakang badan dan masalah-masalah lain.


Minggu Ke-24

Berat badan bakal ibu semakin bertambah dan ia berlaku secara mendadak.Jangan risau kerana ini sesuatu yang normal.Selain itu,muka anda juga mungkin kelihatan membengkak.Hal ini disebabkan tubuh menyimpan air yang berlebihan.Malah,pertambahan saiz bahagian atas tubuh turut disebabkan oleh takungan air.Ketika ini bakal ibu juga kerap mengalami masalah perpeluhan kerana cenderung barasa panas.Minum lebih banyak air bagi mengelakkan masalah dehidrasi.Dalam pada itu,aerola akan lebih menonjol.Sama juga halnya dengan perut anda yang kian membesar.

Minggu Ke-28

Bahagian atas rahim berada di bahagian tengah antara pusat dengan tulang dada.Sebaik-baiknya,amalkan postur tubuh yang betul agar masalah sakit belakang dapat dikurangkan setelah berat badan semakin bertambah.Perlu diketahui,berat badan mungkin bertambah 4 kg sepanjang bulan-bulan terakhir ini.Salur darah pada payudara kelihatan semakin ketara.Begitu juga kesan regangan yang berwarna kemerah-merahan pada bahagian perut.

Minggu Ke-32

Semakin besar saiz bayi,semakin dia menekan organ dalaman anda.Hal ini mungkin menimbulkan beberapa masalah seperti sukar bernafas dan kerap membuang air kecil.Malah setiap kali ketawa,bersin atau batuk,ada kalanya anda mungkin mudah membuang air kecil tanpa sengaja.Pusat akan meregang dan leper.Manakala,garisan gelap linea nigra nampak lebih menonjol.Sendi pelvik yang turut meregang akan menimbulkan rasa ketidakselesaan di bahagian berkenaan.

Minggu Ke-36

Pundi kencing sering mengalami tekanan.Anda semakin kerap membuang air kecil berikutan tekanan daripada bayi.Kadar pertambahan berat badan akan berkurangan dan mungkin akan terhenti pada minggu ke-38.Jika jumlah pertambahan kurang daripada 13 kg,adalah mudah untuk kembali ke berat sebelum hamil selepas anda melahirkan kelak.

Minggu Ke-40

Saiz berat badan terkini kian menyukarkan pergerakan badan.Kulit terasa makin tegang terutamanya di bahagian abdomen sehingga menyebabkan masalah kegatalan.Atasinya dengan kerap menyapu minyak atau losyen khas.Pada dua minggu terakhir,berat badan anda mungkin akan turun sedikit.Keadaan ini menunjukkan bayi anda sudah cukup matang.

Permulaan Sebuah Kehidupan

Perjalanan sperma mencari ovum memang amat menakjubkan.Kejadian ciptaan nyawa seorang anak Adam tercetus selepas berlakunya proses percantuman sperma dan ovum.Pengeluaran sperma atau air mani ditentukan oleh testis.Jika testis berukuran baik dan sempurna,setiap pancutan air mani biasanya berjumlah kira-kira 100 juta benih.Bagaimanapun,jumlah minimum bagi setiap pancutan ialah 60 juta.

Persenyawaan (Sperma Bertemu Ovum)

Detik sperma dan ovum bersatu dan terbentuknya seorang manusia baru,masih lagi menjadi misteri yang sukar dirungkaikan.Ovum atau telur ialah sel paling besar dalam tubuh wanita.Bahagian berkenaan kelihatan seperti bulan penuh yang cantik bersinar dan tidak banyak bergerak seperti sperma.

Halangan Dalam Perjalanan

Biarpun berjuta-juta sperma dilepaskan,namun hanya satu yang berjaya bergelar juara.

Tiba Di Ovum

Sekitar hari ke-14 kitaran haid,salah satu ovari akan menghasilkan satu telur matang untuk disenyawakan.Telur itu akan melalui tiub Falopio dan hidup selama 24 jam di mana jika tidak disenyawakan,akan keluar sebagai darah haid.Apabila sperma tiba di ovum,ia masih ditutupi sarung sel nutrien.Ada sel yang telah menggunakan fungsinya dan telah dibuang sepanjang perjalanan melalui tiub Falopio,tetapi banyak yang masih mengekalkannya untuk membolehkan sperma menembusi ovum.

Penyatuan

Ketika berusaha menembusi ovum,setiap sperma memiliki 'topi' kecil yang dikenali sebagai acrosome.Di dalam topi ini ada protein yang dipanggil enzim yang membantu sperma memecahkan sel nutrien yang mengelilingi ovum.Sewaktu menggunakan topi,tiada sperma yang boleh tembus ke dalam ovum.Sperma yang hampir berjaya menanggalkan topinya.

Juara

Kepala sperma berjaya menembusi dinding dalam ovum.Menakjubkan apabila secara automatik ovum menutup dan mengunci semua pintu,menghalang sperma lain daripada masuk.

Juara Menggugurkan Ekornya

Sebaik sperma menembusi kulit ovum,ekornya yang bertenaga menjalankan fungsinya dan berpisah dari kepala.

20 Jam Pertama

Saat cantuman berlaku,kepala sperma dengan bahan genetik,menembusi sel plasma ovum dan bersedia mendekati bahan genetik wanita yang tersimpan dalam nukleus jauh di dalam ovum.

Pembahagian Sel

Beberapa jam selepas bercantum,ovum yang disenyawakan terbahagi untuk pertama kali.Ia kini memiliki dua sel,setiap satunya membawa gen daripada ibu dan ayah.Ia akan bergerak perlahan menuju ke rahim.

Empat Hari Persenyawaan

Ovum akhirnya tiba di destinasi iaitu rongga rahim pada hari keempat selepas persenyawaan .Ketika ini ovum menjadi bebola yang mempunyai kira-kira 100 sel.Bebola ini dikenali sebagai 'blastosis' dan mempunyai dua lapisan iaitu bahagian luar dikenali sebagai plasenta manakala bahagian dalamnya membentuk embrio yang membesar menjadi bayi.

Pendaratan Sempurna

Blastosis sudah mendarat.Kelihatan tenggelam ke dalam tapak asasnya.

Rumah Pertama

Blastosis mendarat di bahagian rahim ibu yang lembut dan tebal.Rahim akan mengembang dengan pesat sepanjang kehamilan.

Berita Gembira

Minggu pertama atau selepas persenyawaan,lazimnya bakal ibu tidak akan datang haid.Biasanya perasaan wanita dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku dalam badannya.Tanda awal biasanya,wanita akan merasa payudaranya berubah sakit,benjol dan lembut,mual dan sensitif pada bau-bauan.

Empat Minggu


Bentuk asas manusia mula terbentuk.Embrio bersaiz 6mm (kira-kira 1/4 inci) panjang,menunjukkan bentuk awal otak dan tulang belakangnya.Jantung mengepam darah ke hati dan aorta (urat besar yang membawa darah dari jantung).

Makhluk Kecil

Lima hari kemudian,embrio hampir berganda panjangnya dan membesar 1 milimeter setiap hari.

Plasenta


Plasenta atau uri bekerja pantas dalam endometrium dan saluran darah.Ia diumpamakan seperti terminal yang sibuk.Makanan berkhasiat diserap daripada darah ibu dan embrio menghapuskan sendiri bahan perkumuhan daripada sistem metaboliknya sendiri.

Potret Embrio

Embrio yang berusia lima setengah minggu selepas persenyawaan dengan saiz 14 mm (kira-kira 1/2 inci) panjang.Mata,hidung dan mulut mula kelihatan.Bentuk tangannya masih kelihatan seperti pendayung kecil.Tiga hari kemudian jarinya mula kelihatan.Pada minggu ketujuh,lubang hidung,bibir,lidah dan gigi dalam proses pembentukan.

Enam Minggu


Usia enam minggu sudah menampakkan bentuk manusia.Jantung mula berdenyut,darah dipam melalui tali pusat dan keseluruhan embrio dalam pergerakan yang tetap.Jantung embrio mempunyai 140-150 degup seminit iaitu dua kali lebih banyak daripada ibunya.

Hubungan Awal Dalam Otak

Otak merupakan satu ciptaan paling istemewa - sel yang boleh bertindak untuk menganalisis dan mengawal perlakuan seseorang.Seawal tujuh minggu,sel saraf dalam otak mula menyentuh satu sama lain yang bermaksud proses merancang sesuatu sedang berlaku dan ada yang bersambung di dalam laluan kecil saraf asal.

Lapan Minggu


Pada usia lapan minggu,embrio masih bersaiz 4 cm (1 1/2 inci) panjang,tetapi dalam badan yang kecil ini,semua organ berada di dalam tempat masing-masing.Embrio bergantung pada air ketuban.Cecair ini berfungsi melindungi organ embrio yang lembut daripada tekanan dan hentakan.

Dari Embrio Menjadi Fetus

Selepas memasuki usia lapan minggu,embrio mencecah titik penting pembentukannya.Semua organ sudah terbentuk.Bermula saat ini,embrio akan terus membesar,berkembang,menapis fungsinya dan menguji sistem badannya sendiri.Embrio kini melangkah ke peringkat baru menjadi fetus.



Jumaat, 31 Januari 2014

Apa Akan Berlaku?

Kehamilan diukur mengikut ukuran trimester dari hari pertama haid terakhir hingga minggu 40 kehamilan.Trimester pertama kehamilan bermula dari minggu 1 hingga minggu 12 atau tiga bulan.

     Namun harus diingat,tempoh tiga bulan terawal ini atau trimester pertama merupakan tahap yang paling kritikal bagi perkembangan kehidupan janin dalam kandungan.Penjagaan rapi harus dititikberatkan kerana risiko seperti keguguran amat tinggi ketika ini.Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan banyak perubahan diri yang akan dirasai oleh bakal ibu.Dua belas minggu pertama merupakan saat yang menyeronokkan,menakjubkan dan ada kalanya menakutkan.

     Sesetengah perubahan terjadi di dalam badan dan petandanya ditunjukkan dengan jelas di luar badan.Paling jelas,perubahan pada payu dara,perut dan kulit.Lain-lain perubahan yang mungkin kelihatan ialah kelakuan dan emosi ibu hamil.

Sakit Kepala Dan Pening

Kadangkala sakit kepala memberi masalah kepada ramai wanita di awal kehamilan.Puncanya tidak dapat dipastikan,tetapi seperti lain-lain ketidakselesaan pada trimester pertama,perubahan paras hormon dan peningkatan peredaran darah mungkin menjadi faktornya.Lain-lain penyebab mungkin akibat tekanan dan keletihan berikutan penyesuaian emosi dan fizikal bakal ibu terhadap kehamilan.

     Jika anda seorang penggemar kopi yang bertindak mengurangkan atau berhenti mengambil minuman berkafein itu sebaik disahkan hamil,perubahan itu turut boleh menyebabkan sakit kepala untuk beberapa hari.

     Pening merupakan masalah biasa dalam kalangan wanita hamil.Tekanan,keletihan dan kelaparan juga boleh menjadi punca pening.Pening yang serius di awal kehamilan juga mungkin petanda kehamilan ektopik terutamanya jika disertai sakit di bahagian abdomen dan pendarahan vagina.

     Jalan terbaik,rujuk doktor sebelum mengambil sebarang ubat sakit kepada trimester pertama.Walaupun ubat seperti paracetamol selamat diambil ketika hamil,namun sebaik-baiknya elakkan pengambilan sebarang ubat pada trimester pertama ini kecuali jika benar-benar perlu.

     Senaman yang menenangkan dapat membantu mengurangkan sakit kepala sekali gus menyegarkan tubuh badan.Anda hanya perlu menutup mata dan membayangkan suasana yang tenang dan aman.

     Cara lain bagi mengurangkan sakit kepala ialah dengan menekap balutan tuala hangat di dahi,leher dan belakang badan.Rehat secukupnya,makan dengan teratur dan senaman dapat mengurangkan tekanan dan membantu para ibu melalui trimester pertama dan trimester seterusnya dengan baik.

Keletihan

Masuk minggu kelima,tubuh akan lebih mudah berasa letih.Rasa mual dan loya juga mula menyerang tanpa diduga.Jika anda merasai keletihan ini,tidak ada yang lebih baik dilakukan selain berehat.Tidur seketika dapat mengurangkan rasa ketidakselesaan.

     Jika bekerja,gunakan masa rehat untuk tidur atau berbaring seketika.Bagi ibu yang hamil kali kedua dan seterusnya,pastikan suami membantu menguruskan rumah dan anak-anak.Sokongan dan kefahaman daripada semua pihak amat penting ketika ini.

Kekerapan Buang Air Kecil

Peningkatan saiz rahim pada tiga bulan pertama serta fungsi buah pinggang menyebabkan anda semakin kerap hendak membuang air kecil.

     Rahim yang membesar akan menekan pundi kencing.Memasuki bulan keempat,rahim sudah mengembang menyebabkan tekanan pada pundi kencing mula berkurangan.

     Tidak perlu khuatir dengan hal ini.Buanglah air kecil selagi anda merasakannya.Menahan air kencing akan menyebabkan masalah jangkitan air kencing.Condong sedikit ke hadapan sewaktu membuang air kencing membantu anda mengosongkan pundi kencing.

     Jika sering terkencing,pemakaian pantyliner mampu mengurangkan ketidakselesaan.Amalkan senaman lantai pelvik.Ia dapat membantu mengawal lelehan air kencing.

Khamis, 30 Januari 2014

Pemeriksaan awal & Pengesahan Hamil

Sebaik disahkan hamil,buatlah temu janji dengan doktor pakar obstetrik untuk pemeriksaan lanjut.

     Biasanya pada pertemuan pertama dengan doktor,bakal-bakal ibu akan melalui beberapa perkara rutin seperti berikut:

  • Pengesahan kehamilan menerusi ujian ultrasound atau air kencing dan anggaran tarikh jangkaan bersalin.
  • Maklumat sejarah keluarga sama ada memiliki penyakit kencing manis atau darah tinggi.
  • Pemeriksaan darah bagi menentukan jenis darah.
  • Pemeriksaan tekanan darah.
     Jika hamil anak kedua atau seterusnya,doktor akan mendapatkan maklumat kehamilan terdahulu termasuk cara kelahiran sama ada normal atau pembedahan Caesarean.

     Pemeriksaan altenatal sepanjang trimester pertama biasanya berlangsung sebulan sekali kecuali bagi bakal ibu yang mempunyai masalah tertentu seperti pendarahan (yang boleh membawa kepada keguguran),muntah dan mual yang terlalu teruk dan kesakitan pada pelvik (kemungkinan petanda kehamilan ektopik).

     Plasenta adalah penyaring seperti membran atau organ di mana oksigen,makanan,hormon dan bahan-bahan tertentu melaluinya daripada ibu kepada fetus.Bahan buangan daripada fetus pula akan melalui plasenta kepada ibu dan membuangnya melalui buah pinggang ibu.


INFO

     Kehamilan ektopik ialah kehamilan di mana telur yang berjaya disenyawakan membesar di luar rahim,kebanyakannya di dalam salah satu tiub Falopio.

     Kehamilan ektopik tidak boleh diteruskan kerana tidak ada sumber makanan untuk embrio.Jika embrio ini tidak dikeluarkan secepat mungkin,ia boleh memecahkan tiub Falopio atau organ yang terbabit dan menyebabkan pendarahan dalaman sehingga mengancam kesihatan dan nyawa wanita tersebut.  

Proses Kejadian Manusia Menurut Al-Quran

     "... Kami telah menciptakan kamu dari tanah,kemudian dari setitik air benih,kemudian dari sebuku darah beku,kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan." (Al-Hajj : 5)

     Proses kejadian manusia di dalam rahim ibu jelas diterangkan dalam ayat al-Quran.Proses ini terbahagi kepada beberapa bahagian:

  • Pertemuan di antara sperma suami dan telur isteri (berada dalam bentuk air mani selama 40 hari).
  • Bertukar menjadi segumpal darah selama 40 hari.
  • Berubah bentuk menjadi seketul daging selama 40 hari.Ketika inilah ALLAH S.W.T menjadikan pancaindera dan organ-organ dalaman yang lain seperti firman ALLAH dalam surah al-Imran ayat 6 yang bermaksud:
     "DIA-lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu)sebagaimana yang dikehendaki-NYA."

  • Cukup empat bulan usia kandungan,ALLAH S.W.T memerintahkan malaikat meniupkan roh.Semasa meniup roh,ALLAH S.W.T perintahkan malaikat menulis empat perkara di dalam qadar manusia iaitu rezeki,ajal,amalan baik atau buruk,bahagia atau celaka.Walau bagaimanapun,tulisan ini bergantung kepada apa yang dipilih manusia apabila dewasa kelak.
  • Seterusnya janin membesar sehingga usia sembilan bulan dan akhirnya lahirlah sebagai seorang bayi seperti firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Taariq ayat 6 yang bermaksud:
     "Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim)."