Jumaat, 31 Januari 2014

Apa Akan Berlaku?

Kehamilan diukur mengikut ukuran trimester dari hari pertama haid terakhir hingga minggu 40 kehamilan.Trimester pertama kehamilan bermula dari minggu 1 hingga minggu 12 atau tiga bulan.

     Namun harus diingat,tempoh tiga bulan terawal ini atau trimester pertama merupakan tahap yang paling kritikal bagi perkembangan kehidupan janin dalam kandungan.Penjagaan rapi harus dititikberatkan kerana risiko seperti keguguran amat tinggi ketika ini.Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan banyak perubahan diri yang akan dirasai oleh bakal ibu.Dua belas minggu pertama merupakan saat yang menyeronokkan,menakjubkan dan ada kalanya menakutkan.

     Sesetengah perubahan terjadi di dalam badan dan petandanya ditunjukkan dengan jelas di luar badan.Paling jelas,perubahan pada payu dara,perut dan kulit.Lain-lain perubahan yang mungkin kelihatan ialah kelakuan dan emosi ibu hamil.

Sakit Kepala Dan Pening

Kadangkala sakit kepala memberi masalah kepada ramai wanita di awal kehamilan.Puncanya tidak dapat dipastikan,tetapi seperti lain-lain ketidakselesaan pada trimester pertama,perubahan paras hormon dan peningkatan peredaran darah mungkin menjadi faktornya.Lain-lain penyebab mungkin akibat tekanan dan keletihan berikutan penyesuaian emosi dan fizikal bakal ibu terhadap kehamilan.

     Jika anda seorang penggemar kopi yang bertindak mengurangkan atau berhenti mengambil minuman berkafein itu sebaik disahkan hamil,perubahan itu turut boleh menyebabkan sakit kepala untuk beberapa hari.

     Pening merupakan masalah biasa dalam kalangan wanita hamil.Tekanan,keletihan dan kelaparan juga boleh menjadi punca pening.Pening yang serius di awal kehamilan juga mungkin petanda kehamilan ektopik terutamanya jika disertai sakit di bahagian abdomen dan pendarahan vagina.

     Jalan terbaik,rujuk doktor sebelum mengambil sebarang ubat sakit kepada trimester pertama.Walaupun ubat seperti paracetamol selamat diambil ketika hamil,namun sebaik-baiknya elakkan pengambilan sebarang ubat pada trimester pertama ini kecuali jika benar-benar perlu.

     Senaman yang menenangkan dapat membantu mengurangkan sakit kepala sekali gus menyegarkan tubuh badan.Anda hanya perlu menutup mata dan membayangkan suasana yang tenang dan aman.

     Cara lain bagi mengurangkan sakit kepala ialah dengan menekap balutan tuala hangat di dahi,leher dan belakang badan.Rehat secukupnya,makan dengan teratur dan senaman dapat mengurangkan tekanan dan membantu para ibu melalui trimester pertama dan trimester seterusnya dengan baik.

Keletihan

Masuk minggu kelima,tubuh akan lebih mudah berasa letih.Rasa mual dan loya juga mula menyerang tanpa diduga.Jika anda merasai keletihan ini,tidak ada yang lebih baik dilakukan selain berehat.Tidur seketika dapat mengurangkan rasa ketidakselesaan.

     Jika bekerja,gunakan masa rehat untuk tidur atau berbaring seketika.Bagi ibu yang hamil kali kedua dan seterusnya,pastikan suami membantu menguruskan rumah dan anak-anak.Sokongan dan kefahaman daripada semua pihak amat penting ketika ini.

Kekerapan Buang Air Kecil

Peningkatan saiz rahim pada tiga bulan pertama serta fungsi buah pinggang menyebabkan anda semakin kerap hendak membuang air kecil.

     Rahim yang membesar akan menekan pundi kencing.Memasuki bulan keempat,rahim sudah mengembang menyebabkan tekanan pada pundi kencing mula berkurangan.

     Tidak perlu khuatir dengan hal ini.Buanglah air kecil selagi anda merasakannya.Menahan air kencing akan menyebabkan masalah jangkitan air kencing.Condong sedikit ke hadapan sewaktu membuang air kencing membantu anda mengosongkan pundi kencing.

     Jika sering terkencing,pemakaian pantyliner mampu mengurangkan ketidakselesaan.Amalkan senaman lantai pelvik.Ia dapat membantu mengawal lelehan air kencing.

Khamis, 30 Januari 2014

Pemeriksaan awal & Pengesahan Hamil

Sebaik disahkan hamil,buatlah temu janji dengan doktor pakar obstetrik untuk pemeriksaan lanjut.

     Biasanya pada pertemuan pertama dengan doktor,bakal-bakal ibu akan melalui beberapa perkara rutin seperti berikut:

  • Pengesahan kehamilan menerusi ujian ultrasound atau air kencing dan anggaran tarikh jangkaan bersalin.
  • Maklumat sejarah keluarga sama ada memiliki penyakit kencing manis atau darah tinggi.
  • Pemeriksaan darah bagi menentukan jenis darah.
  • Pemeriksaan tekanan darah.
     Jika hamil anak kedua atau seterusnya,doktor akan mendapatkan maklumat kehamilan terdahulu termasuk cara kelahiran sama ada normal atau pembedahan Caesarean.

     Pemeriksaan altenatal sepanjang trimester pertama biasanya berlangsung sebulan sekali kecuali bagi bakal ibu yang mempunyai masalah tertentu seperti pendarahan (yang boleh membawa kepada keguguran),muntah dan mual yang terlalu teruk dan kesakitan pada pelvik (kemungkinan petanda kehamilan ektopik).

     Plasenta adalah penyaring seperti membran atau organ di mana oksigen,makanan,hormon dan bahan-bahan tertentu melaluinya daripada ibu kepada fetus.Bahan buangan daripada fetus pula akan melalui plasenta kepada ibu dan membuangnya melalui buah pinggang ibu.


INFO

     Kehamilan ektopik ialah kehamilan di mana telur yang berjaya disenyawakan membesar di luar rahim,kebanyakannya di dalam salah satu tiub Falopio.

     Kehamilan ektopik tidak boleh diteruskan kerana tidak ada sumber makanan untuk embrio.Jika embrio ini tidak dikeluarkan secepat mungkin,ia boleh memecahkan tiub Falopio atau organ yang terbabit dan menyebabkan pendarahan dalaman sehingga mengancam kesihatan dan nyawa wanita tersebut.  

Proses Kejadian Manusia Menurut Al-Quran

     "... Kami telah menciptakan kamu dari tanah,kemudian dari setitik air benih,kemudian dari sebuku darah beku,kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan." (Al-Hajj : 5)

     Proses kejadian manusia di dalam rahim ibu jelas diterangkan dalam ayat al-Quran.Proses ini terbahagi kepada beberapa bahagian:

  • Pertemuan di antara sperma suami dan telur isteri (berada dalam bentuk air mani selama 40 hari).
  • Bertukar menjadi segumpal darah selama 40 hari.
  • Berubah bentuk menjadi seketul daging selama 40 hari.Ketika inilah ALLAH S.W.T menjadikan pancaindera dan organ-organ dalaman yang lain seperti firman ALLAH dalam surah al-Imran ayat 6 yang bermaksud:
     "DIA-lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu)sebagaimana yang dikehendaki-NYA."

  • Cukup empat bulan usia kandungan,ALLAH S.W.T memerintahkan malaikat meniupkan roh.Semasa meniup roh,ALLAH S.W.T perintahkan malaikat menulis empat perkara di dalam qadar manusia iaitu rezeki,ajal,amalan baik atau buruk,bahagia atau celaka.Walau bagaimanapun,tulisan ini bergantung kepada apa yang dipilih manusia apabila dewasa kelak.
  • Seterusnya janin membesar sehingga usia sembilan bulan dan akhirnya lahirlah sebagai seorang bayi seperti firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Taariq ayat 6 yang bermaksud:
     "Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim)."

Benarkah Anda Hamil?

Pengesahan kehamilan pasti menjadi saat yang mengujakan.Saat ini,tubuh sudah mula mengalami perubahan sedikit demi sedikit.Di samping tidak datang haid,beberapa simptom lain juga hampir mengesahkan kehamilan anda.Di antara TANDA-TANDA AWAL KEHAMILAN yang disebabkan oleh perubahan hormon termasuk:

  1. Keletihan  berpanjangan.
  2. Payudara lebih lembut kerana hormon estrogen merangsang tisu-tisu payudara.
  3. Kekerapan membuang air kecil.
  4. Bahagian bawah perut terasa penuh atau sakit ringan.
  5. Loya atau mual sama ada disertai muntah atau tidak yang dikenali sebagai morning sickness.Mungkin ia disebabkan oleh peningkatan hormon hCG.
  6. Kerap berasa lapar.
  7. Perubahan emosi akibat perubahan paras hormon.

Pemilihan Jantina Dari Sudut Pandangan Islam

Bolehkah kita mencampuri urusan ALLAH? Sebagai orang islam,sewajarnya kita berpegang teguh pada Rukun Iman yang keenam iaitu percaya kepada Qadak dan Qadar.Terima sahaja ketentuan dan takdir yang telah ditetapkan untuk kita.

     Soal zuriat dan jantina anak bukan urusan kita,tetapi sebagai manusia,kita masih boleh merancang dan berusaha untuk mendapatkan apa yang diingini.

     Dalam soal merancang jantina anak,sebarang rawatan yang menggunakan teknologi sains perubatan boleh dilakukan asalkan pasangan itu ada alasan yang mendesak (darurat) dan tidak bertentangan dengan ajaran islam.

     Sebagai manusia kita digalakkan berusaha,berikhtiar dan berdoa jika menginginkan sesuatu.



Lelaki Atau Perempuan Mana Satu Pilihan?

Pemilihan jantina dalam keadaan tertentu adalah dibenarkan atas alasan perubatan bagi mengelakkan penyakit berkaitan genetik yang dibawa oleh anak berjantina tertentu seperti Hemofillia (pembekuan darah) dan Duchenne Muscular Cystrophy yang hanya dialami kaum lelaki.Ia perlu dilakukan jika ada kemudahan dan kepakaran dan diterima di kebanyakan negara maju seperti di Amerika Syarikat,Britain dan Australia.

     Kesibukan membina kerjaya yang menuntut lebih banyak masa dihabiskan di luar rumah selain desakan hidup yang semakin meruncing mengakibatkan ramai ibu bapa hari ini menghadkan kuantiti anak mereka hingga tiga sahaja.

     Oleh itu,jika diberi pilihan,mereka cenderung untuk memilih sendiri jantina anak yang bakal dilahirkan.Biasanya jika pasangan sudah mempunyai seorang anak lelaki,mereka mengharapkan anak kedua yang bakal lahir itu perempuan.Begitu juga sebaliknya.

Catatan:

Fakta menyatakan jantina seseorang individu itu ditentukan oleh sepasang kromosom seks yang terkandung dalam setiap sel badan manusia.Lelaki membawa kromosom seks XY manakala wanita membawa kromosom seks XX.

     Sperma dan telur mempunyai hanya separuh bilangan kromosom lengkap.Jadi,kedua-duanya mempunyai hanya satu kromosom seks,sama ada X atau Y.

     Telur wanita membawa kromosom seks X manakala sperma lelaki membawa sama ada kromosom X atau Y.Semasa persenyawaan,jika sperma berkromosom X mensenyawakan telur,maka anak perempuan akan terhasil (kromosom seks XX).Sebaliknya,jika sperma dengan kromosom Y mensenyawakan telur,maka anak lelaki akan terhasil (kromosom seks XY).

     Meneka jantina anak di dalam kandungan merupakan pengalaman yang mendebarkan.Namun dengan kecanggihan teknologi masa kini,bakal ibu bapa boleh mengetahui jantina anak mereka dalam kandungan seawal usia kandungan lima bulan.

     Bagaimanapun bagi penganut agama islam,mereka tidak boleh terlalu yakin dan percaya 100% kerana segalanya boleh berubah dengan keizinan ALLAH S.W.T.Sewajarnya kita berserah kepada-NYA dalam menentukan jantina anak dalam kandungan.

     Harapan dan keinginan yang terlalu tinggi untuk mendapat sesuatu jantina boleh mengakibatkan kekecewaan bahkan memberi kesan yang tidak baik kepada anak yang lahir sekiranya apa yang dihajati tidak diperoleh.Oleh itu,terima sahaja apa jua jantina anak yang bakal lahir.Sama ada perempuan atau lelaki,paling penting anak yang lahir itu sihat dan sempurna.Sebagai manusia,kita hanya merancang,ALLAH S.W.T jua yang menentukan.



Rabu, 29 Januari 2014

Petua & Amalan Untuk Memperoleh Zuriat

Kemandulan merupakan situasi di mana seorang wanita yang sudah berkahwin tidak mendapat zuriat.Masalah ini boleh berpunca daripada pihak perempuan ataupun lelaki.Dalam dunia perubatan tradisional melayu,dikatakan terdapat pelbagai jenis herba yang dikaitkan dengan masalah ini.

  • Akar pokok tunjuk langit dimakan bagi kemandulan yang disebabkan oleh masalah rahim.
  • Secekak akar semalu kering direbus dan diminum airnya bagi mengubati wanita yang mandul.Bagi kemandulan yang disebabkan oleh pihak lelaki pula,herba yang disyorkan ialah jenis yang boleh menambahkan pengeluaran sperma.
  • Campuran buah badam,susu cair,telur kuning,madu dan halba.Ramuan ini dimasak,dikisar dan diminum oleh suami dan isteri.
  • Suami dan isteri digalakkan makan tauge mentah sebagai ulam-ulaman.
  • Air ibu kunyit dicampur dengan air limau nipis dan kuning telur ayam kampung (dimakan setiap pagi)

Amalan-amalan berikut juga boleh diamalkan sebagai usaha untuk memperoleh zuriat.

  • Selepas fajar ataupun solat subuh,baca bismillah sekali.Kemudian selawat tiga kali.
  • Setelah itu,sujud dan ucaplah dua kalimah syahadah sebanyak 101 kali.Dalam sujud,mohonlah kepada ALLAH apa yang dihajatkan.Akhir sekali,tutup doa tersebut dengan membaca selawat sebanyak tiga kali.
  • Amalkan cara ini baik suami mahupun isteri selama 15 hari atau sebaik-baiknya teruskan jika masih belum berhasil dan jangan mudah putus asa.
Suami membaca; "Ya Mutakabbir" (ALLAH Yang Maha Memiliki Keagungan) sebanyak 11 kali sebelum mengadakan hubungan seks dengan isteri.

     Isteri pula membaca; "Ya Awwal" (Yang tiada Permulaan Ada-NYA) sebanyak 333 kali setiap hari dan membaca "Ya Zaljalaali Wal Ikram" sebanyak 11 kali setiap hari.Kemudian hembus ke dalam sebekas air dan minum air tersebut.

     Suami isteri disarankan membaca surah Yusuf atau surah Maryam setiap hari.Amalkan dengan penuh harapan agar dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T akan zuriat yang baik.

     Berikut antara doa yang perlu diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh/solehah.(a) Ayat 38,surah Ali-Imran.(b) Ayat 89,surah Al-Anbiya.

     Amalkan membaca kedua-dua doa ini beserta usaha yang tidak putus.Berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan dalam syarak.Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah,puasa sunat dan melakukan qiamullail.

Selasa, 28 Januari 2014

Kaedah Merawat Masalah Kesuburan

Kurangkan Berat Badan

Ini merupakan perkara utama yang perlu dilakukan bagi membolehkan diri kembali subur.Ini terutamanya bagi wanita yang disahkan menghidap Polycystic Ovary Syndrome (PCOS).

     Ubah corak pemakanan seharian dengan mengurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat dan bergula.

Pengambilan Clomid

Clomiphene citrate iaitu sejenis pil subur perlu diambil seawal hari kedua hingga keenam haid untukmembesarkan telur.Pengambilannya hanya boleh dilakukan jika rahim,sperma dan tiub Falopio tidak tersumbat.

     Dos pil yang perlu diambil selama lima hari ini bergantung kepada individu.Lazimnya di antara 50mg - 200mg iaitu satu hingga empat tablet sehari.PERLU DIINGAT! PIL INI HANYA BOLEH DIAMBIL ATAS ARAHAN DOKTOR.

     Menerusi kaedah ini,pemeriksaan faraj perlu dilakukan pada hari ke-12,bagi melihat saiz telur.Seterusnya,ujian darah pula akan dilakukan pada hari ke-21.

Dalam pada itu,pengambilan pil ini boleh menipiskan selaput dalam rahim (enmetrium) dan menebalkan cecair pangkal rahim sehingga menyukarkan pergerakan sperma.

Penggunaan Letrozole

Satu lagi alternatif untuk pil subur ialah Letrozole.Ia dikatakan lebih efektif berbanding Clomid.

     Selain daripada itu,Letrozole juga kurang meninggalkan kesan sampingan,malah potensi kehamilan kembar turut menurun dengan penggunaannya.Pil ini sudah lama digunakan di luar negara bagi merangsang pembesaran telur sejak 2001.

Suntikan

Suntikan hormon perangsang folikel (FSH) begi merangsang perkembangan dan kematangan telur akan diberi pada hari ke-10 hingga ke-12 kitaran haid.Suntikan yang sama juga digunakan dalam kaedah IUI (dos kecil) dan IVF (dos tinggi).

Intrauterine Insemination (IUI)

Kaedah ini lebih murah dan prosedurnya juga agak mudah.Selain suntikan FSH,suntikan Human Chorionic Gonadotrophin atau hCG akan diberi pada hari ke-13.

     Seterusnya,sehari atau dua hari diperlukan bagi membolehkan telur menetas (oocyte).Kaedah ini adalah sangat bagus bagi mengatasi masalah kekurangan sperma atau cecair pangkal rahim tebal.Hanya sperma terbaik akan dimasukkan ke dalam rahim.Selain itu,doktor akan memilih waktu yang terbaik untuk meletakkannya kembali.

In Vitro Fertilization (IVF)

Secara amnya,petunjuk yang membolehkan anda menjalani kaedah rawatan kesuburan ini termasuklah hal-hal yang melibatkan tiub Falopio tersumbat,masalah ketidaksuburan yang tidak dapat dikenal pasti dan PCOS.

     Menariknya tentang IVF ialah menerusi blastocyst transfer,telur akan diperam selama lima hari bagi membolehkan prosedur assisted hatching dilakukan.Jadi,telur akan lebih kuat lekatannya pada dinding rahim.

     Melalui kaedah yang sama,anda boleh memastikan bayi bebas daripada risiko Sindrom Down,mengenal pasti jika terdapat penyakit-penyakit tertentu pada telur dan memilih jantina bayi yang bakal dilahirkan menerusi Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD)

Ketahuilah,peratusan kejayaan dalam pemilihan jantina adalah 100% dengan menggunakan kaedah ini.Walau bagaimanapun,kos rawatan bagi kaedah ini adalah tinggi.

Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI)

Kaedah ini amat sesuai untuk mengatasi masalah sperma terlalu sedikit.Malah,kaedah ini berguna bagi mengatasi masalah sperma yang kurang berkualiti.

Gamete Intrafallopian Transfer (GIFT)

Prosedur kaedah ini paling sukar dilakukan kerana melibatkan laparoscopy.Tambahan pula,peratusan kejayaan sangat rendah.Oleh kerana itulah ia kurang popular dalam kalangan doktor mahupun pesakit yang menjalani rawatan kesuburan.

Tingkatkan Peluang Hamil

Kadangkala kesukaran untuk hamil bukan disebabkan oleh masalah organ dalaman yang dihadapi oleh isteri atau suami.Mungkin tanpa disedari,tabiat dan gaya hidup selama ini yang menjadi punca anda sukar untuk hamil.

Penggunaan Gel Pelincir Yang Salah Semasa Mengadakan Hubungan Intim Boleh Mengurangkan Potensi Hamil

Gel pelincir yang terdapat di pasaran boleh merosakkan sperma.Gunakan alternatif lain untuk menggantikannya.

     Telur putih mempunyai fungsi yang sama seperti gel pelincir.Percaya atau tidak,telur putih lebih mesra sperma.

     Selain daripada itu,cara terbaik untuk meningkatkan peluang hamil adalah dengan memperbanyakkan pelincir semula jadi anda.Ia boleh dicapai dengan melakukan lebih banyak foreplay sebelum memulakan hubungan seks.Cara ini dapat meningkatkan keghairahan,seterusnya lebih banyak banyak pelincir semula jadi dapat dihasilkan bagi membantu sperma terus hidup.

Simpanan Sperma

Sesetengah pasangan menganggap dengan mengelakkan hubungan seks dalam masa sebulan kecuali sekitar masa subur dapat 'menjimatkan' sperma.Sebaliknya lebih banyak akan terhasil sewaktu memerlukannya.Ini adalah satu tanggapan yang salah.

     Ada benarnya dengan menyimpan sperma,anda mungkin mempunyai lebih banyak bila diperlukan tetapi kebanyakan sperma itu sudah lemah dan lembab serta tidak mampu mensenyawakan telur wanita.

     Dalam usaha untuk meningkatkan peluang hamil,adalah penting untuk memastikan sperma yang dihasilkan segar.Ini bererti,pasangan harus ejakulasi paling tidak setiap lima hari sepanjang bulan.

     Tingkatkan frekuensi hubungan seksual apabila menghampiri tempoh ovulasi bagi meningkatkan peluang hamil.

Vitamin C Sememangnya Bagus Untuk Meningkatkan Kesuburan.Ia Dapat Memperbaiki Cecair Serviks Anda

Cecair ini berfungsi mengangkut sperma ke dalam serviks dan ke dalam rahim,di mana ia berjumpa dengan telur.Tanpanya,sperma tidak mampu hidup lebih lama.Tetapi,mengambil terlalu banyak vitamin C juga boleh memberi kesan buruk.

     Terlalu banyak vitamin C boleh menyebabkan kekeringan cecair serviks,seterusnya menurunkan potensi hamil.Dinasihatkan mengambil tidak lebih daripada 1000mg vitamin C setiap hari.

Stres Sering Dikaitkan Dengan Punca KebanyakanWanita Sukar Hamil

Dalam satu kajian,wanita disarankan melakukan terapi 'ketawa' yang akan membuka lebih banyak peluang untuk hamil.

     Peruntukan masa sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari (lebih lagi bagus) untuk melakukan aktiviti yang boleh membuatkan anda ketawa.Cara ini jauh lebih berkesan berbanding memaksa diri untuk bertenang.

Makanan Mengganggu Kesuburan

Pastikan anda mengetahuinya.Biasanya,wanita yang sedang hamil tahu apa makanan yang harus dijauhi,tetapi tidak ramai wanita yang sedang berusaha untuk mengandung tahu akan hal itu.

     Jauhi ikan yang mengandungi paras merkuri yang tinggi.Apabila disahkan hamil dan hanya mengetahuinya dua minggu selepas lewat kedatangan haid,bayi anda sudah pun terdedah dengan apa yang dimasukkan ke dalam tubuh anda dalam tempoh itu.Merkuri tersimpan di dalam saluran darah apabila diambil terlalu banyakmenerusi makanan,sebelum ia terus disalurkan kepada bayi di dalam rahim.Terlalu banyak merkuri boleh memberi kesan kepada sistem saraf bayi.

     Ikan tuna di dalam tin mengandungi paras toksik merkuri yang tinggi.Jauhi iakn yu,ikan todak,raja tenggiri,tile fish (juga dikenali sebagai golden atau white snapper),stik tuna (segar atau beku),mackerel Sepanyol dan kerapu kerana semua ikan ini mengandungi paras merkuri yang tinggi.Bagaimanapun jangan mengelak semua jenis ikan kerana ikan kaya dengan protein,vitamin D dan asid lemak Omega-3 yang bagus untuk diet sihat.

Minuman Berkafein Sering Dikaitkan Dengan Kesuburan Wanita.Sesetengah Kajian Mengetahui Akan Hal Itu,Tetapi Sesetengah Lagi Tidak

Namun kini,kajian membuktikan dengan secawan kopi sahaja sudah cukup mengurangkan peluang kehamilan sehingga 50% dalam tempoh 12 bulan.Walaupun perdebatan berkaitan minuman masih belum selesai,disarankan wanita mengambil jalan selamat dengan menjauhi minuman yang berkafein jika sedang mencuba untuk hamil.

Ubat-Ubatan Yang Mesti Dijauhi Oleh Lelaki

Apabila sedang mencuba untuk hamil,suami ataupun isteri perlu menjauhi sebanyak mungkin ubat-ubatan yang diambil sebagai rutin harian.

     Berbincanglah dengan doktor tentang pengambilan ubat-ubat tersebut.Ubat-ubatan yang biasa diambil oleh lelaki seperti Tagamet-untuk merawat masalah ulser,masalah gastrointestinal dan jangkitan salur kencing dan ubat-ubatan bagi mengawal keadaan kronik seperti tekanan darah tinggi,penyakit pembengkakan usus ataupun gout mempunyai kesan buruk terhadap pengeluaran sperma,seterusnya kesuburan.

Selain daripada itu,anda juga boleh mencuba teknik-teknik ini sebagai usaha untuk meningkatkan peluang hamil:

  • Melakukan hubungan seks pada waktu paling subur bagi meningkatkan kebarangkalian mengandung.
  • Pengambilan ubat kesuburan Clomiphene dan Gonadotropins merupakan antara langkah terawal yang harus dilakukan sebelum mencuba rawatan lain yang lebih canggih.
  • Pembedahan minor bagi masalah saperti tiub Falopio tersekat atau membuang cyst.
  • IUI (Artifical Insemination@Permainan Berhadas)
  • IUI ialah satu kaedah bagi membantu sperma suami untuk sampai kepada telur.Ini kerana suami mempunyai kuantiti sperma yang rendah dan lemah.
  • ART (Assisted Reproductive Technology)
  • ART merupakan teknologi bantuan reproduktif.Jika anda dan pasangan berhadapan dengan masalah kekurangan sperma,tiub Falopio tersumbat atau langkah-langkah yang dinyatakan sebelum ini gagal,kaedah yang lebih berteknologi dan mahal seperti In Vitro Fertilization (IVF),Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI),dan Gamate Intrafallopian Transfer (ZIFT) akan disarankan oleh doktor sakit puan.


Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kesuburan

Ada banyak faktor yang boleh menghalang kehamilan.Dalam kalangan pasangan suami isteri yang subur,peratusan kejayaan hamil selepas percubaan pertama hanyalah sekitar 25%.Ini bermakna,75% pasangan perlu mencuba beberapa kali sebelum berjaya hamil.Ramai yang tertanya-tanya mengapa masih gagal hamil walaupun sudah beberapa kali mencuba tanpa jemu.

Antara faktor penyebabnya ialah:

Usia Wanita

Dalam zaman yang serba moden ini,ramai wanita yang mendirikan rumah tangga hanya selepas berjaya memperoleh kerjaya yang diinginkan.Akibatnya,usia sudah 'banyak',sekaligus mengurangkan potensi untuk hamil.Sememangnya,usia boleh mengurangkan kemampuan seseorang wanita untuk hamil.Setelah berusia 30 tahun,tahap kesuburan wanita semakin berkurangan dari setahun ke setahun.

Kesihatan Pasangan

Seperti wanita,tahap kesuburan lelaki juga merosot apabila usia mereka semakin meningkat.Walau bagaimanapun,kemerosotan tersebut tidaklah secepat wanita.Biasanya,tahap kesuburan lelaki mulai menurun selepas mencecah usia 40 tahun.

Gaya Hidup

Pelbagai faktor yang berkaitan dengan gaya hidup seseorang memberikan kesan terhadap keupayaan seseorang wanita untuk hamil.Antaranya ialah faktor pemakanan,senaman,tahap stres yang dialami,tabiat tidur dan macam-macam lagi.

Anda mestilah benar-benar sihat untuk hamil.Hentikan tabiat merokok,jauhi minuman keras,amalkan diet seimbang setiap hari,tidur yang cukup dan senaman secara berkala.

Stres Yang Melampau

Tekanan perasaan yang melampau boleh menutup peluang untuk memiliki cahaya mata.Sama ada anda berusaha terlalu keras untuk mendapatkan anak ataupun terlalu komited dengan kerjaya,kedua-duanya boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil.Semakin tertekan pasangan suami isteri itu,semakin sukar bagi mereka untuk mendapatkan anak.

Pakaian

Pakaian lelaki terutamanya seluar dan seluar dalam yang ketat boleh mengurangkan sperma berbanding dengan lelaki yang berpakaian longgar.

Masalah Hormon

Sesetengah wanita tidak ada masalah untuk hamil,tetapi tubuh mereka tidak berupaya menghasilkan hormon progesteron yang mencukupi bagi mengekalkan kehamilan.Oleh itu,sekiranya anda risau tentang kemungkinan adanya masalah hormon ataupun masalah fizikal yang menyukarkan kehamilan,segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Bilangan Sperma Yang Rendah

Ada sesetengah lelaki bermasalah untuk menghasilkan sperma.Akibatnya,isteri mereka sukar hamil.Oleh yang demikian,suami perlu menjalani beberapa ujian terhadap sperma mereka bagi mengetahui punca sebenar.

Pengambilan Kafein

Jika gemar mengambil lebih satu atau dua cawan kopi setiap hari,anda sebenarnya mengurangkan potensi diri untuk hamil.

Kajian mendapati bahawa jumlah kafein yang ada di dalam tubuh boleh mengganggu kemampuan telur melekat dalam uterus.

Jika masih gagal hamil setelah beberapa bulan mendirikan rumah tangga,segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.Dengan bantuan peralatan moden serta kemajuan sains dan teknologi,memiliki anak daripada benih sendiri adalah tidak mustahil.Apa yang harus dilakukan ialah membuat pemeriksaan kesihatan di klinik untuk bantuan. 



Isnin, 27 Januari 2014

Punca Gagal Hamil

Masalah kesuburan merupakan tanggungjawab suami dan isteri.Ini kerana 35% masalah kesuburan berpunca daripada suami,35% lagi berpunca daripada isteri dan selebihnya merupakan gabungan masalah kedua-duanya.Manakala 10% lagi tidak dapat dikenal pasti.

     Antara masalah kesuburan yang biasa bagi kaum wanita ialah kurangnya penghasilan telur disebabkan oleh peningkatan usia,berat badan yang berlebihan atau Polycystic Ovary (PCOS),endometriosis,tiub Falopio tersumbat akibat jangkitan tertentu,fibroid dan rahim yang herot atau senget kerana kecacatan sejak lahir.

     Di pihak suami pula,ketidaksuburan boleh berlaku apabila tiada penghasilan telur akibat kegagalan alat kelamin atau kelenjar tersumbat.Kualiti sperma yang lemah berpunca daripada varicocele (urat mengembang dalam alat kelamin yang menyebabkan kepanasan melampau),tabiat merokok dan kesukaran seksual (mati pucuk).

     Pasangan dinasihatkan berjumpa dengan doktor pakar kesuburan agar kaunseling,pemeriksaan dan penyiasatan dapat dilakukan.Hal ini penting bagi memudahkan doktor mengetahui punca sebenar masalah ini.Waktu yang paling sesuai melakukan pemeriksaan mahupun rawatan susulan ialah setelah gagal mendapatkan zuriat selepas setahun mencuba.

     Golongan wanita lazimnya lebih bermotivasi untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin biarpun kadangkala di pihak suami mengambil sikap sambil lewa.Dalam masa yang sama,dapatkan nasihat mengenai teknik mengesan waktu subur bagi meningkatkan peluang hamil.Dapatkan penjelasan terperinci tentang kaedah mencatat suhu badan agar dapat meramal waktu subur sekaligus membolehkan anda menentukan waktu yang sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin.Anda turut disaran membeli alat untuk mengukur suhu badan (fertility/ovulation thermometer) di farmasi.

     Selain itu,ubah corak pemakanan dan ketahuilah teknik untuk mengurangkan tahap tekanan.Sekiranya masih gagal hamil setelah mencuba langkah yang dinyatakan,cuba proses ini pula:

Pemeriksaan Faraj

Ujian ini melibatkan pemeriksaan ultrabunyi yang dilakukan melalui faraj.Turut dikenali sebagai 'vaginal sonography',ujian ini dilakukan bagi mengesan keadaan rahim dan mengesan telur yang ada.

Pemeriksaan Sperma

Tujuan ujian ini dijalankan ialah bagi mengetahui kuantiti,daya pergerakan dan bentuk sperma.Sekiranya suami enggan bekerjasama dengan menghadirkan diri ke klinik,ujian ini masih boleh dilakukan.Si suami hanya perlu mengeluarkan contoh air mani di rumah selepas selepas mengadakan hubungan intim pada waktu pagidengan menadah sampel air mani ke dalam sebuah bekas khas.Bekas yang dilabel dengan nama suami perlu dihantar segera ke klinikdalam masa kurang dua jam selepas dikeluarkan.

Pemeriksaan Hysterosalpingogram (HSG)

Ujian X-ray rahim atau HSG pula dilakukan bagi mengenal pasti keadaan di dalam rahim dan tiub Falopio.Ia dilakukan dengan menyuntik sejenis cecair khas ke dalam rahim melalui faraj,seterusnya gambar X-ray diambil.Menerusi HSG,doktor dapat mengesan sebarang keganjilan yang mungkin berlaku.Dianggarkan 15-20% yang pernah menjalani prosedur HSG,hamil dalam tempoh tiga hingga enam bulan berikutnya.

Ada kemungkinan masalah ketidaksuburan berlaku jika anda tidak hamil selepas setahun berumahtangga (tinggal sebumbung) walaupun kerap melakukan hubungan suami isteri.


Usah Tunggu Waktu Subur

Secara amnya,ovum mampu bertahan selama 24 jam selepas ovulasi.Sperma pula dapat bertahan sehingga 72 jam selepas ejakulasi.

     Jika sperma bertemu ovum dalam masa 24 jam selepas ovulasi,peluang untuk hamil adalah tinggi.Walau bagaimanapun,kajian menunjukkan bagi pasangan yang subur,peluang hamil adalah sekitar 15 - 25% dan ia adalah satu angka yang normal.

     Bagi meningkatkan peluang hamil,hubungan seks sehingga ejakulasi ke dalam faraj sepatutnya dilakukan tanpa mengira waktu subur.Lakukan secara kerap sekurang-kurangnya selang dua hari begi memastikan sperma berada di dalam tiub Falopio setiap masa termasuklah pada waktu ovulasi (tidak termasuk waktu haid).

     Kajian membuktikan,hubungan seks secara kerap (2-3 kali seminggu) lebih berkesan dalam membuahkan kehamilan berbanding hubungan seks yang tertumpu kepada jangkaan bagi waktu subur sahaja.

Ahad, 26 Januari 2014

Ujian-Ujian

Air Kencing

Pada saat-saat akhir menghampiri ovulasi,berlaku proses LH surge di mana paras hormon LH meningkat mendadak sehingga memcetus ovulasi.Kehadiran LH surge dikatakan berlaku apabila kelihatan jalur bewarna yang sama atau lebih jelas daripada jalur neutral di kit khas yang digunakan dalam ujian ini.

     Ketepatan ujian boleh terganggu dengan kehadiran faktor-faktor yang mengubah paras hormon LH di dalam tubuh seperti kehamilan,menopous,penyakit-penyakit tertentu (PCOS),ubat kesuburan,ubat-ubatan yang mengandungi hCG atau LH dan lain-lain.

     Waktu bacaan juga boleh mengubah warna dan kepekatan jalur bacaan.Memandangkan LH sedia ada di dalam tubuh,tidak mustahil jalur bewarna samar kelihatan seawal ujian pertama.Dalam keadaan ini,ujian dianggap negatif.Ia tidak sama seperti ijian air kencing untuk kehamilan.Perubahan keputusan daripada negatif pada hari-hari sebelum LH surge sehingga hari di mana ujian menjadi positif menunjukkan ovulasi semakin hampir dan mungkin berlaku dalam masa 24-48 jam.Oleh itu,pasangan suami isteri perlu melakukan hubungan intim bermula beberapa hari sebelum ovulasi.Namun,bilangan kitaran haid seeloknya diketahui agar tidak berlaku pembaziran akibat menggunakan terlalu banyak kit ujian.

     Bagi wanita yang diketahui mempunyai masalah pembesaran telur dan ovulasi,kaedah ini tidak sesuai digunakan bersendirian tanpa bantuan ubatan atau teknik pemantauan yang lebih berkesan.





Darah

Paras hormon progesteron dapat memberi gambaran sama ada ovulasi berlaku atau tidak.Lazimnya,ujian darah dilakukan pada hari ke-21 kitaran haid.Ia mengambil kira andaian bahawa bagi kitaran haid 28 hari,ovulasi yang berlaku adalah pada hari ke-14 akan menyebabkan korpus luteum mula menghasilkan hormon progesteron.Maka pada hari ke 21,dijangka paras hormon progesteron meningkat.Bagi kitaran haid 50 hari,ovulasi dijangka berlaku sekitar hari ke-21.

Ultrasound

Kaedah ini dapat menunjukkan pembesaran telur dan bilangannya (terutamanyabagi wanita yang mengambil ubat subur) selain menentukan waktu paling subur berdasarkan saiz kantung telur dan ketebalan lapisan endometrium.Malah,bukti ovulasi telah berlaku juga boleh ditunjukkan selepas tempoh itu.Walaubagaimanapun,ia memerlukan lawatan susulan berkali-kali kerana ia lebih berdasarkan tarikh haid dan kadar pembesaran telur wanita.

Mengesan Waktu Subur

PERUBAHAN MUKUS SERVIKS

Apabila tiba waktu pengovulan,mukus serviks akan berubah sama ada dari segi amaun mahupun bentuk fizikalnya,Lazimnya,dalam tempoh bukan pengovulan,rupa mukus serviks adalah melekit ataupun langsung tiada.

     Bagi mendapatkan contoh lendirran ini,seseorang wanita perlu memasukkan jarinya ke dalam kemaluan.Ini lebih baik dilakukan sejurus selepas berhadas kecil.


NOTA: 

Pastikan kuku tidak panjang dan masukkan jari ke dalam lubang faraj sehingga terasa pangkal rahim yang keras seperti hidung.Dari situ,anda akan memperoleh sedikit lendir yang terlekat pada jari.Lendir pangkal rahim ini sering berubah bentuk dan rupanya mengikut pusingan haid.Sebelum waktu subur,lendir ini jernih,tetapi tidak banyak dan tidak mudah dijalurkan (stretch).


     Apabila tiba tempoh subur (pengovulan),mukus serviks menjadi lebih banyak dan kelihatan seperti putih telur yang mampu meregang sehingga satu inci atau lebih.

     Pada waktu subur yang biasanya jatuh pada hari yang ke-13 atau 14 selepas hari pertama haid,lendir ini akan bertukar menjadi banyak,cair,jernih dan mudah dijalurkan.Inilah waktunya seseorang wanita itu dikatakan sangat subur.Selepas telur keluar satu atau dua hari kemudiannya,lendir ini menjadi kesat dan tidak jernih lagi dan serba keputihan warnanya.Ini menunjukkan hari subur telah berlalu.

KELEBIHAN:

Kaedah ini percuma 100%.Dipercayai merupakan salah satu petunjuk yang paling tepat untuk melakukan hubungan bagi memudahkan usaha kehamilan.

KELEMAHAN:

Segelintir wanita agak keliru ketika mengaplikasikan kaedah ini.Ia bukan satu petunjuk yang jelas.Mukus serviks subur mungkin hadir,tetapi anda tidak berupaya untuk melalui proses pengovulan.(Hal ini biasanya berlaku kepada wanita yang mengalami PCOS).Penggunaan Clomid atau antihistamine boleh mengeringkan mukus serviks sekali gus menyukarkan anda mengesannya.


KEINGINAN SEKS MENINGKAT

Kajian telah membuktikan kebanyakan wanita lebih berkeinginan untuk mengadakan hubungan intim dalam tempoh subur.Lazimnya,ia berlaku beberapa hari sebelum pengovulan.Waktu ini merupakan masa yang tepat untuk melakukan seks jika ingin hamil.

KELEBIHAN:

Walaupun tidak berupaya melalui proses pengovulan,anda sebenarnya masih dapat meluangkan momen-momen indah bersama suami.

KELEMAHAN:

Tekanan untuk hamil boleh membantutkan keinginan seks seseorang.Malah,kegusaran yang dihadapi boleh mengakibatkan kedinginan seks.Ia bukan petunjuk yang jelas.Keinginan seks boleh meningkat bila-bila masa sahaja sepanjang kitaran haid termasuklah sehari sebelum haid tiba.


PERUNAHAN SUHU TUBUH BASAL (BBT)

Mencatat BBT merupakan antara kaedah yang boleh diaplikasikan bagi mengesan ovulasi dalam kalangan wanita yang ingin hamil.BBT akan meningkat dan kekal tinggi selepas tempoh pengovulan.Peningkatan suhu ini adalah disebabkan oleh kehadiran hormon progesteron.Ia akan meningkat sejurus selepas tempoh pengovulan berlaku.

Caranya adalah dengan menyukat suhu badan sejurus selepas bangun pagi,iaitu sebelum mandi atau memberus gigi.Suhu badan ini perlu dicatat.Jika dicatat berterusan selama sebulan iaitu sejurus keluar haid hingga ke haid yang berikutnya,satu bentuk carta akan terhasil yang boleh memberi petunjuk sama ada wanita itu mengeluarkan telur atau tidak.Ia juga memberi petunjuk bila wanita itu mengeluarkan telurnya.

Pengeluaran telur ini berlaku dalam pusingan 28 hari,biasanya 13 atau 14 hari selepas hari pertama haid.

KELEBIHAN:

Jika suhu badan meningkat,itu petanda proses pengovulan sudah hampir.Cacatan yang dibuat dapat membantu doktor yang merawat melakukan diagnosis.

KELEMAHAN:

Tidak mampu memberi pengesahan bahawa tempoh pengovulan hampir tiba.Hanya sah selepas tempoh itu.Jika corak tidur anda tidak menentu atau bekerja pada waktu malam,carta BBT tidak dapat membantu.


PERUBAHAN KEDUDUKAN SERVIKS

Sama seperti perubahan mukus serviks ketika proses pengovulan,kedudukan serviks turut berubah,Apabila anda dalam keadaan yang sangat subur,serviks akan lebih tinggi,lembut dan terbuka.

KELEBIHAN:

Ia adalah percuma selain dapat membantu diri mengenali tubuh dengan lebih baik.Anda boleh mengesan tempoh pengovulan walaupun mukus serviks kering kesan penggunaan Clomid atau antihistamine.

KELEMAHAN:

Sesetengah wanita rasa keliru ketika pengaplikasikan kaedah ini.Ia bukan satu petunjuk yang tepat.Sama seperti mukus serviks,anda boleh mendapat petunjuk bahawa serviks mungkin subur,tetapi anda tidak berupaya melalui proses pengovulan.


PAYUDARA LEMBUT

Ada segelintir wanita yang mengalami tanda ini sebelum ovulasi.Keadaan ini dikaitkan dengan hormon yang terkandung di dalam tubuh di mana ia sedang melakukan persiapan untuk kehamilan yang mungkin terjadi.

KELEBIHAN:

Kaedah ini adalah percuma.Anda dapat mengenal tubuh sendiri dengan lebih baik.

KELEMAHAN:

Bukan petunjuk yang tepat.Payudara menjadi lembut sebelum dan selepas tempoh pengovulan.Malah boleh juga tejadi sebelum haid.Ia juga mungkin kesan sampingan akibat penggunaan ubat kesuburan.


UJIAN PETUNJUK TEMPOH SUBUR

Kit petunjuk tempoh subur menggunakan urin untuk diuji sehari sekali selama seminggu sebelum anda menjangka tempoh pengovulan.

KELEBIHAN:

Jika tidak menggunakan kaedah mencatat BBT,cara ini boleh digunakan.Bagi yang mengalami masalah mukus serviks kering juga boleh menggunakan kaedah ini.Kaedah ini juga boleh digunakan bersama carta BBT bagi mendapatkan pengesahan tambahan.

KELEMAHAN:

Kaedah ini agak mahal berbanding kaedah-kaedah yang lain.Anda mungkin memerlukan lebih daripada satu kit bagi setiap kitaran.Juga bukan petunjuk yang jelas.Keputusan ujian mungkin positif,tetapi anda tidak berupaya melalui proses pengovulan.

Kalendar Kitaran Haid

Maklumat berikut perlu diketahui sebelum memahami waktu subur.


PALING SUBUR

Dari 72 jam (tiga hari) sebelum ovulasi sehingga 24 jam selepas ovulasi.Jika sperma ada di dalam tiub Falopio dari 72 jam sebelum ovulasi pun,persenyawaan masih boleh berlaku kerana hayat sperma masih ada.


WAKTU BERJAGA-JAGA

Dalam tempoh lima hari sebelum ovulasi sehingga dua hari selepas ovulasi.Ovulasi masih boleh berlaku (bukannya tepat) sekitar 14 hari sebelum jangkaan.


PALING KURANG SUBUR

Lebih lima hari sebelum ovulasi atau lebih dua hari selepas ovulasi.

Petua lain bagi mengetahui waktu subur adalah berdasarkan perubahan ciri-ciri lendir dalam fasa proliferatif.Lendir ini bertukar menjadi lebih jernih dan cair seperti putih telur yang masih mentah bagi memudahkan pergerakan sperma menembusinya sewaktu ia berenang memasuki ruang rahim dan seterusnya tiub Falopio untuk mensenyawakan telur.Semakin banyak kantung telur membesar,semakin banyak lendir yang keluar sehingga membasahi seluar dalam.Selepas ovulasi,peningkatan paras hormon progesteron menyebabkan lendir ini bertukar pekat keputihan dan kental bagi menyekat pergerakan sperma-sperma baru.

Sedikit kesakitan mungkin dialami segolongan wanita sewaktu ovulasi.Ia tertumpu di bahagian bawah abdomen sama ada kanan atau kiri dan boleh menjalar sehingga ke kawasan pusat.Sakit ini dikenali sebagai 'mittelschmertz'.

Tanpa kesakitan ini,tidak bermakna seseorang wanita tidak mengalami ovulasi pada bulan tersebut.


Kitaran Haid Tentukan Waktu Subur

Haid yang tidak teratur sering dianggap sebagai salah satu punca wanita sukar hamil kerana waktu subur sukar ditentukan.


     Umum sering menganggap kitaran haid normal ialah setiap 28 hari.Hakikatnya,kitaran haid yang lazim adalah diantara 25 hingga 35 hari.


     Seawal hari pertama haid,sekumpulan telur baru (8-15 telur) telah memulakan proses pembesaran.Dalam kalangan wanita subur,hanya satu telur akan terus membesar dan mengalami ovulasi (tanpa rangsangan ubat).Telur-telur yang lain akan mengalah dan tidak menjadi.Bagi wanita yang tidak subur,tiada satu pun telur yang akan membesar.

     Pada masa yang sama,fasa proliferatif di mana lapisan endometrium di bahagian paling dalam dinding rahim akan menebal kesan rangsangan hormon estrogen.Setelah ovulasi,hormon progesteron yang dihasilkan oleh kantung luteal,ovari akan mematangkan lapisan endometrium (fasa luteal).Ini sebagai persediaan menerima kehadiran embrio.Jika tidak hamil,ia akan gugur sebagai haid.

     Tempoh masa proliferatif tidak semestinya sama bagi setiap wanita subur.Namun,tempoh fasa luteal biasanya sama iaitu 14 hari.Ini bermakna,setelah 14 hari berlaku ovulasi,tempoh luteal tamat dan wanita akan haid jika tidak hamil.Ini turut bererti,waktu subur lebih tepat dikira sekitar 14 hari sebelum jangkaan haid berikutnya.

     Waktu ovulasi adalah waktu paling subur.Jika kitaran haid wanita adalah setiap 28 hari,waktu ovulasinya adalah pada hari ke-14 (28 tolak 14).Bagi wanita yang kitaran haidnya 35 hari,waktu ovulasinya adalah pada hari ke-21 (35 tolak 14).

     Ada wanita yang menyangka jika haid mereka datang pada setiap haribulan yang sama,maka kitaran haidnya adalah tetap.Ini satu tanggapan yang tidak tepat kerana ada bulan yang mempunyai 30,31,28 atau 29 hari.

     Sebaik-baiknya wanita mencatat hari pertama haid setiap kitaran selama enam bulan untuk mengetahui jumlah hari kitaran paling pendek dan paling panjang.

Senarai Semak Untuk Hamil

SUDAHKAH ANDA MENJALANI UJIAN DARAH MENGESAN PENYAKIT TALASEMIA?

Talasemia merupakan satu keadaan yang diwarisi.Gen yang diperturunkan daripada ibu bapa menentukan sekiranya seseorang itu bakal mendapat Talasemia.Talasemia tidak boleh berjangkit daripada individu kepada individu yang lain.

Simptom Talasemia bergantung kepada gen yang diwarisi.Gen yang terlibat dalam Talasemia mengawal penghasilan hemoglobin iaitu sejenis protein dalam sel darah merah.

Hemoglobin berfungsi membawa oksigen kepada tisu-tisu dalam badan yang merupakan satu keperluan wajib bagi menjalani proses kehidupan.Setiap satu molekul hemoglobin terdiri daripada empat unit protein.Dua daripadanya dipanggil Alfa dan dua lagi dikenali sebagai Beta.

Talasemia berlaku jika satu atau lebih daripada gen-gen tersebut gagal berfungsi mengakibatkan kekurangan salah satu daripada unit protein,sama ada Alfa atau Beta.

Jika gen protein Beta terlibat,maka keadaan itu dipanggil Beta Talasemia tetapi jika gen protein Alfa terlibat,ia dipanggil Alfa Talasemia.Keadaan ini tidak dapat dirawat dengan pengambilan zat besi sahaja.Masalah Beta Talasemia Trait boleh diwarisi oleh anak-anak jika pasangan mereka pembawa Beta Talasemia Trait.


ADAKAH ANDA ATAU PASANGAN MEMPUNYAI MASALAH PENYAKIT KETURUNAN?

Beberapa masalah perubatan,contohnyaHemofilia dan Fibrosis Bersista dijangkiti secara keturunan.Sekiranya anda atau pasangan mempunyai saudara rapat yang dijangkiti penyakit keturunan,ada kemungkinan penyakit itu akan diturunkan kepada bayi anda.Rujuklah kepada doktor atau kaunselor genetik yang boleh menjangka tahap risiko yang dihadapi.


ADAKAH ANDA MENGAMBIL ATAU PERNAH MENGAMBIL PIL PERANCANG?

Sekiranya ada mengambil pil perancang,maka anda disyorkan berhenti mengambilnya untuk suatu jangka masa yang panjang sebelum bercadang untuk hamil supaya badan anda mempunyai masa untuk kembali ke kitaran normalnya.Seelok-eloknya berhenti selama tiga kitaran haid sebelum cuba untuk hamil





ADAKAH ANDA MEMPUNYAI KEADAAN PERUBATAN JANGKA PANJANG?

Sekiranya mempunyai gangguan dari segi perubatan,contohnya kencing manis atau epilepsi,berbincanglah dengan doktor sebelum cuba hamil.Doktor mungkin akan mengubah bentuk rawatan kerana ubat yang diambil mungkin memberi kesan kepada bayi dalam kandungan atau mengakibatkan kesukaran semasa hamil.


ADAKAH ANDA MEROKOK ATAU MINUM MINUMAN KERAS?

Anda dan pasangan sewajarnya berhenti merokok atau mengambil minuman keras jika ingin hamil kerana tembakau dan alkohol mempengaruhi kesuburan lelaki dan wanita disamping boleh memudaratkan bayi sebelum dan selepas bersalin.


ADAKAH KERJA ANADA MEMUNGKINKAN ANDA MENGHADAPI SEBARANG RISIKO?

Jika kerja anda terdedah kepada bahan kimia,plumbum,ubat bius atau sinar-X,hal ini mungkin mempengaruhi peluang anda untuk hamil atau mendatangkan risiko kepada bayi.

Dapatkan nasihat doktor.Adalah lebih baik anda bertukar pekerjaan sebelum hamil.Anda juga boleh berbincang dengan mejikan sekiranya pekerjaan anda melibatkan kerja berat dan membebankan yang mungkin boleh memudaratkan kesihatan anda dan bayi.


Sabtu, 25 Januari 2014

Amalan Sebelum Hamil

PENGAMBILAN ASID FOLIK

Sebaik membuat keputusan untuk hamil,seorang wanita seharusnya mula mengambil suplemen asid folik 400mcg setiap hari.Sebaik-baiknya suplemen ini diambil setiap bulan sebelum hamil.Suplemen ini amat baik untuk mencegah bayi daripada mengalami masalah seperti spina bifida dan ketidaksempurnaan tempurung kepala.

Dengan pengambilan suplemen asid folik dalam jumlah yang disarankan sebelum hamil dan sepanjang 12 minggu pertama kehamilan,bakal ibu dapat mempersiapkan tubuh dengan bekalan asid folik yang mencukupi bagi melindungi bakal bayi sekaligus membenarkan pembentukan tulang belakang bayi berjalan lancar.

Selain suplemen,bakal ibu juga boleh mengambil asid folik tambahan daripada sumber makanan seperti bayam,brokoli atau bijiran sarapan pagi dan roti.











PEMAKANAN

Sama ada berat badan kurang atau berlebihan,bakal ibu perlu prihatin akan hal ini.Apa yang jauh lebih penting ialah makanlah dalam jumlah yang seimbang setiap hari,makanlah pelbagai jenis makanan setiap hari.Jangan hanya tertumpu kepada satu-satu jenis makanan semata-mata.

Seperti yang diketahui,buah-buahan dan sayur-sayuran segar mengandungi kumpulan vitamin B yang sangat penting untuk pembentukan sel-sel.Sama juga halnya dengan jenis-jenis makanan yang lain.Jangan lupa serat,daging,kekacang dan produk tenusu.Zat-zat ini adalah sumber yang para ibu amat perlukan jika berjaya hamil nanti.

Makanan yang paling penting untuk dikurangkan ialah makanan bergula dan berkarbohidrat kerana boleh mengganggu proses penghasilan telur wanita.

Di samping mengamalkan pemakanan sihat,jauhkan diri daripada gaya hidup yang tidak sihat,sebaliknya biasakan diri dengan senaman.

Dengan melakukan senaman secara berkala,tubuh menjadi lebih cergas.Secara tidak langsung,senaman merangsang hormon terutamanya hormon yang berkaitan kehamilan untuk menjalankan fungsinya dengan baik.Untuk hamil juga,bakal ibu perlu memastikan tubuh benar-benar cergas seperti seorang atlet.Hal ini adalah kerana kehamilan bakal menambah beban kepada tubuh.Jadi,bersenamlah sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.


Yang Perlu Anda Tahu

Bagi pasangan yang beragama islam,persediaan untuk menjadi ibu dan bapa bermula sejak janin belum terbentuk lagi dalam rahim ibu.Personaliti,keperibadian bakal ibu bapa dan ibu serta adab ketika melakukan hubungan seksual memberi kesan terhadap peribadi anak yang bakal dilahirkan kelak.Ini adalah antara aspek-aspek yang perlu diberi perhatian:


  • Amalan membaca bahan-bahan bacaan dapat membantu menambah pengetahuan bakal papa dan mama.
  • Bacaan doa sebelum melakukan hubungan seksual dapat menghalang syaitan daripada mengganggu dan dengan cara ini juga dapat mengelakkan kita dan pasangan daripada pengaruh-pengaruh jahat.
  • Cara melakukan hubungan bersama suami atau isteri haruslah mengikut adab-adab yang dianjurkan oleh agama agar mendapat keberkatan.
  • Doa ketika berjimak; "Ya ALLAH,ya TUHAN-ku,jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkan syaitan daripada rezeki yang ENGKAU kurniakan kepada kami." (Hadis Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
  • Elakkan daripada melakukan posisi atau aksi yang boleh memudaratkan pasangan semasa melakukan hubungan intim.
  • Fahami tubuh badan isteri atau suami agar hubungan intim menghasilkan kepuasan kepada kedua belah pihak.
  • Gagal hamil bukan bererti gagal selama-lamanya.Teruskan berusaha,berdoa dan bertawakal kepada Yang Maha Esa.
  • Hadiri majlis ilmu dan keagamaan bagi meningkatkan pengetahuan keagamaan bakal papa dan mama agar menjadi contoh tauladan kepada zuriat yang bakal dilahirkan.
  • Istighfar merupakan satu amalan mulia yang patut dilakukan oleh pasangan suami isteri terutamanya setiap kali selepas solat fardu.Jaga kebersihan diri sebelum dan selepas melakukan hubungan seksual.
  • Jangan sesekali menzalimi binatang.
  • Kerap berselawat ke atas junjungan besar kita,Nabi Muhammad s.a.w.
  • Langsaikan hutang piutang yang ada dan cuba jauhi diri daripada berhutang.
  • Mencuci kemaluan dan berwuduk sekiranya ingin mengulangi hubungan seksual untuk kali kedua pada waktu yang sama.
  • Niatkan di dalam hati agar dihindarkan daripada segala kejahatan dan supaya ALLAH SWT mengurniakan zuriat yang sihat,sempurna,soleh dan solehah.
  • Orang-orang yang sabar adalah orang yang dapat mengawal dirinya daripada melakukan maksiat yang dilarang ke atasnya.
  • Pilih pakar-pakar yang sesuai dan berpengalaman untuk mendapatkan sebarang khidmat nasihat berkenaan kehamilan.
  • Rajin-rajinlah membaca al-Quran,berzikir dan berdoa.
  • Surah An-Nas,solat Taubat,solat Tahajud dan solat Hajat bagus jika diamalkan.
  • Tutur kata suami dan isteri harus dijaga.Sentiasa lafazkan kata-kata yang positif sebagai salah satu cara untuk merangsang perkembangan emosi diri.
  • Untuk mendapat anak-anak yang soleh dan solehah,amalkan bacaan doa yang dianjurkan di dalam islam.Antaranya surah Al-Furqan ayat 74,surah Al-Hijr ayat 17,surah Al-Baqarah ayat 128 dan surah Ali-Imran ayat 36.
  • Walaupun nampak remeh,tetapi cuba jauhkan diri daripada majlis-majlis yang berunsur maksiat dan mungkar sepanjang tempoh isteri hamil.Itu merupakan waktu yang sangat sensitif bagi pertumbuhan dan perkembangan bayi yang dikandung.
  • Yakinlah dengan nikmat yang ALLAH SWT berikan kepada seorang wanita yang hamil dan melahirkan anak.
  • Zikrullah iaitu bertasbih,bertahmid,bertakbir dan tahlil elok diamalkan sepertimana Rasulullah s.a.w. bersabda; Maksudnya "Dua kalimah yang disukai oleh ALLAH dan ringan diucapkan di lidah namun berat pada pertimbangan itulah kalimah Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahil 'Azimi.' - Muttafaqun A'laih -

Ingat! Tonggak utama untuk menjayakan misi-misi ini adalah diri sendiri.Oleh yang demikian,bakal ibu dan ayah perlu lebih prihatin memantau tahap kesihatan diri masing-masing.

Jumaat, 24 Januari 2014

Pastikan Fizikal & Emosi Stabil

Beri keutamaan kepada persediaan fizikal dan emosi.Dalam situasi ini,suami memainkan peranan yang sangat penting.Ibu bapa daripada kedua-dua belah pihak sama ada isteri atau suami serta saudara-mara juga perlu memberi sokongan moral kepada bakal ibu.Punca tekanan jiwa dan emosi seseorang wanita hamil biasanya kerana beban mengandung yang harus dilaluinya selama lebih kurang sembilan bulan sepuluh hari.

Di peringkat awal kehamilan,sebilangan wanita mengadu mengalami masalah alahan sehingga sukar untuk tidur malam.Golongan ini juga yang bekerja di pejabat dan terpaksa membereskan kerja-kerja rumah.Ini boleh membebankan fizikal dan mental seorang isteri.Ada suami yang langsung tidak memberikan sokongan dan pertolongan yang sewajarnya ketika isteri dalam keadaan sarat.

Wanita juga perlu dimaklumkan lebih awal mengenai kesakitan yang bakal dihadapi sewaktu melahirkan dan diajar cara-cara mengatasi dan mengurangkan kesakitan.Sesetengah wanita mengalami kesakitan yang berpanjangan hingga mengakibatkan kesan psikologi yang sangat berat.Selepas melahirkan,beban emosi pula timbul apabila perlu menjaga anak dan bangun malam untuk menukar lampin dan menyusukan bayi.Hal ini juga boleh menekan jiwa seorang wanita.Dalam hal ini,ada baiknya suami turut membantu isteri dengan bergilir-gilir menjaga anak.

Bagi menstabilkan jiwa dan emosi,bakal ibu yang beragama islam wajib menguatkan iman dan pegangannya kepada ALLAH dengan bersolat,berzikir dan berdoa khususnya di waktu-waktu genting seperti ketika sakit hendak bersalin.

Sentiasalah berdoa agar mendapat anak yang sihat,cerdik dan baik akhlaknya.Doa yang boleh diamalkan antaranya ialah doa Nabi Zakaria A.S. dalam al-Quran yang bermaksud;

"Wahai TUHAN-ku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-MU zuriat keturunan yang baik.Sesungguhnya ENGKAU sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan."

Dalam pada itu,bukan semua pasangan bersedia menimang cahaya mata.Setiap kehamilan seelok-eloknya dirancang serta diingini,bukan berlaku secara kebetulan.Kehamilan yang tidak disengajakan boleh menimbulkan masalah hubungan dan kasih sayang di antara ibu dan bayi.Keadaan ini boleh menjejaskan perkembangan mental dan akhlak bayi dalam jangka masa panjang.Selain daripada itu,tubuh badan dan minda yang sihat amat penting sebelum merancang untuk hamil.Oleh itu,pastikan diri telah benar-benar bersedia bergelar ibu dan ayah.

A .. 'Aku inginkan kehadiran anak'.Sentiasa sematkan kata-kata itu dalam fikiran.Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan kesediaan anda untuk hamil

B .. Berapa berat badan anda? Sebaik-baiknya berat harus berada pada paras normal,iaitu bersesuaian dengan ketinggian selama sekurang-kurangnya enam bulan sebelum hamil

C .. Ceriakan diri kerana ia membantu anda melalui fasa kehamilan dengan gembira,seterusnya melahirkan bayi yang ceria.

D .. Diet di awal kehamilan boleh mengakibatkan tubuh kekurangan zat penting.

E .. Elakkan makanan yang boleh mengakibatkan alahan jika jika terbukti anda mempunyai alahan terhadap jenis-jenis makanan tertentu.Emosi yang tidak stabil boleh mengganggu dan memberi kesan kepada kandungan.

F .. Fahami perubahan fisiologi yang berlaku pada diri sendiri.Ia penting bagi menangani ketidakstabilan emosi yang mudah berlaku.Nikmati fasa kehamilan dan perubahan yang berlaku dengan tenang dan sabar.

G .. Gerakan senaman ringan yang konsisten akan membantu anda mengekalkan stamina diri dalam menghadapi tempoh kehamilan yang mampu mengubah kecergasan tubuh badan.

H .. Hubungan seksual yang dilakukan bersama suami adalah syarat kepada wanita itu sendiri yang dia sudah bersedia untuk mengandung.





I .. Ilmu,nota dan pengalaman orang lain boleh dijadikan penduan sebagai persiapan diri untuk hamil kelak.

J .. Jangkakan perkara di luar jangkaan jika ditakdirkan hamil,contohnya jika dahulu sukakan makanan pedas,mungkin apabila hamil,anda tidak menggemarinya.Setidak-tidaknya tentukan standard pemakanan sebelum kelahiran bermula.Ini boleh diukur dari segi kesihatan dan paras hemoglobin dalam darah ibu.

K .. Kekurangan darah atau anemia semasa hamil boleh membahayakan nyawa ibu.Oleh itu,berbincanglah dengan doktor bagi mencari penyelesaian yang terbaik.

L .. Lenguh di bahagian kaki selain rasa kebas dan kejang di bahagian betis,paha dan jari-jari kaki sering berlaku dalam kalangan ibu hamil.Bersedialah tetapi tidak perlu takut apabila ia menyerang.

M .. Memastikan diri dalam keadaan sihat fizikal dan mental kerana ia penting untuk melahirkan zuriat yang sihat.

N .. Nasihat daripada doktor adalah sangat perlu begi pengambilan sebarang jenis ubat-ubatan.Jika berisiko menjasdi pembawa penyakit berbahaya seperti HIV atau Talesemia,lakukan ujian darah segera.Buang tabiat merokok jika anda dan pasangan seorang perokok tegar.Fikirkan risiko yang bakal ditanggung oleh anak dalam kandungan.

O .. Otak memainkan peranan penting dalam mengawal minda,seterusnya memberi kesan terhadap kecergasan diri.

P .. Paras hemoglobin yang wajar adalah di antara 10 hingga 14 gm peratus.Kekurangan darah boleh mengancam nyawa ibu sewaktu bersalin kerana tumpah darah boleh berlaku.Kekurangan darah juga boleh menjejaskan pertumbuhan bayi dalam rahim.

R .. Rancang bagaimana anda dan suami mahu membesarkan anak yang bakal dikandung dan dilahirkan.Gagal memahami tanggungjawab sebenar seorang ibu dan ayah boleh mengganggu kelancaran pertumbuhan seorang anak.

S .. Sakit di bahagian payudara adalah normal di awal kehamilan kerana ketika ini,payudara menjadi tegang dan membesar kerana proses pembentukan susu.Suami perlu memberi sokongan dan bantuan sewajarnya semasa isteri hamil.Ia membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi.

T .. Tanpa pengetahuan,kehamilan boleh mengakibatkan tekanan bukan sahaja kepada tubuh badan,tetapi juga mental bakal ibu.Tekanan ini boleh menyebabkan masalah emosi dan psikologi.Ketahui keadaan sesuai untuk hamil agar mental anda bersedia menghadapi sebarang tekanan dan perubahan yang berlaku.

U .. Usia yang sesuai untuk hamil adalah di antara 20 hingga 35 tahun.Ibu yang berusia 35 tahun ke atas memiliki organ-organ peranakan yang sudah kurang aktif menerima kehamilan.Risiko anak cacat selain kemungkinan ibu mendapat penyakit kencing manis,darah tinggi atau kesukaran melahirkan anak boleh berlaku ke atas wanita yang hamil pada usia 35 tahun ke atas.

V .. Varicose vein atau bengkak urat dipercayai menyerang hampir 40% wanita hamil.

W .. Wanita yang ingin mengandung perlu tahu jenis atau kumpulan darah mereka.Dibimbangi,akan berlaku masalah terhadap kandungan jika seorang wanita berdarah rhesus negatif berkahwin dengan suami yang berdarah rhesus positif.Antara masalahnya ialah keguguran,bayi mati dalam kandungan atau bayi lahir dalam keadaan kurang darah serta berpenyakit kuning.

Y .. Yakin dan percayalah pada kekuasaan TUHAN.Hadapi apa jua situasi dengan sabar dan tenang.Berbaik sangkalah dengan ALLAH SWT.

Z .. Zat besi serta zat protein yang tidak mencukupi menyebabkan wanita yang hamil mengalami masalah kekurangan darah.


Kewangan Kukuh Bina Keluarga

Kehadiran anak sudah semestinya akan mengubah perbelanjaan keluarga.Amat penting untuk membuat persediaan kewangan yang mencukupi sebelum merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga.Amalkan tabiat menyimpan dan menabung dari awal dan sediakan pelan kewangan yang boleh menjamin masa depan keluarga.







Selain persediaan fizikal,mental juga memerlukan persediaan rapi sebelum menghadapi fasa baru kehidupan.Seorang ibu yang sedang menempuh fasa hamil dan bakal melahirkan perlu mendapatkan ilmu sebanyak yang mungkin tentang kehamilan,kelahiran serta penjagaan dan pendidikan anak.Tanpa pengetahuan yang cukup boleh menyebabkan tekanan bukan sahaja kepada tubuh badan,tetapi juga mental.Tekanan ini boleh menyebabkan beberapa masalah dari segi emosi dan psikologi.

Sebilangan wanita akan mengalami masalah kemurungan yang sangat teruk selepas melahirkan.Wanita ini berpotensi mengalami tekanan jiwa dan membawa dirinya ke dalam keadaan yang digelar pueperal psychosis.Jika keadaan ini dibiar berterusan,tidak mustahil wanita ini boleh ke tahap membunuh diri

Rancang Kehamilan

Merancang untuk menimang cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga ialah keputusan yang penting bagi setiap pasangan.Kehadiran si comel pasti menambahkan lagi kebahagiaan yang sedang dikecapi tetapi bagaimana caranya untuk memiliki anak sihat?

Anak yang sihat sudah pastinya lahir daripada ibu yang sihat.Justeru memeriksa tahap kesihatan diri sendiri dan pasangan memungkinkan diri memiliki anak yang sihat.











Berikut merupakan beberapa panduan penting untuk semakan:

  1. Dapatkan suntikan Rubela dan Hepatitis B bagi mencegah penyakit berbahaya seperti jantung berlubang,penyakit hati,cacat anggota atau terencat akal bagi bayi yang bakal lahir terutamanya di awal pembentukan janin.Perlu diingatkan,bakal ibu perlu menunggu tiga bulan selepas suntikan untuk hamil.
  2. Jika kerja harian banyak terdedah kepada bahan kimia,plumbum,ubat bius atau sinar-X,keadaan itu mungkin  mempengaruhi peluang untuk hamil atau boleh mendatangkan risiko kepada.Dapatkan nasihat doktor segera.
  3. Periksa diri dan pasangan sama ada mewarisi penyakit keturunan.Jika kedua-dua atau salah seorang mempunyai penyakit keturunan,rujuk kepada doktor kerana kemungkinan besar penyakit itu boleh diturunkan kepada bayi dalam kandungan.
  4. Darah dapat mengesan paras hormon.Ujian darah dapat membantu menentukan sama ada anda mengeluarkan benih atau tidak.
  5. Elakkan tabiat pemakanan yang kurang sihat kerana ia akan menyekat peluang untuk hamil.
  6. Fahami tubuh sendiri.Jika menghidap penyakit yang memerlukan pengambilan ubat,berbincanglah dengan doktor sebelum cuba hamil.
  7. Gaya hidup,kesihatan&senaman yang cukup turut berperanan dalam menentukan keupayaan diri untuk hamil.Oleh itu,pastikan gaya hidup yang sihat.
  8. Hentikan pengambilan pil perancang.Jika ingin hamil,sebaik-baiknya berhenti selama tiga kitaran haid sebelum berusaha untuk hamil.
  9. Jangan sekadar berserah dan berharap.Giatkan usaha untuk hamil.
  10. Kekalkan berat badan yang ideal agar tidak menyukarkan impian diri untuk menimang cahaya mata.Masalah kegemukan boleh mengganggu kesuburan wanita mahupun lelaki.
  11. Lelaki juga perlu menjaga kesihatan diri.Sperma yang berkualiti dihasilkan oleh lelaki yang sihat.
  12. Jauhi minuman keras kerana kandungan alkoholnya mempengaruhi kesuburan lelaki dan wanita di samping memudaratkan bayi dalam kandungan.
  13. Nikmati hubungan seksual bersama pesangan sepenuhnya.
  14. Ovum dari kilang ovari sangat penting bagi wanita kerana ia merupakan salah satu aspek untuk mengukur tahap kesuburannya.
  15. Pilih waktu terbaik (subur) untuk melakukan hubungan intim bersama pasangan.
  16. Berhenti merokok jika ingin anak yang sihat.
  17. Usia turut memainkan peranan wanita untuk hamil.Wanita boleh hamil untuk jangka masa 36 tahun (sekitar 12 - 48 tahun sahaja).
Kehamilan dan kelahiran jika tidak dijaga dengan baik boleh mengganggu kesihatan dan mengancam nyawa ibu dan anak yang dikandung.


Impian Memiliki Zuriat

Kehadiran cahaya mata memang amat dinanti-nantikan bagi mana-mana pasangan yang sudah bergelar suami isteri.Itulah pelengkap kebahagiaan bagi sesebuah rumahtangga.Bertuahlah bagi pasangan suami isteri yang terus dikurniakan zuriat selepas berumah tangga.Namun,tidak semua pasangan bernasib baik.

Bagi yang kurang bernasib baik,ia bukanlah penyudah kebahagiaan yang diidamkan.Bukan semua pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata mempunyai masalah kesuburan.Ada yang didiagnosis sihat serta tiada masalah kesuburan.Itu tanda rezekinya masih belum ada.









Mengikut kajian perubatan,peluang pasangan untuk hamil dalam mana-mana bulan hanyalah 15 hingga 20 peratus.Ini bermakna,setiap bulan hanya 15 hingga 20 daripada 100 pasangan yang berjaya hamil.

Setelah enam bulan berusaha,75 daripada 100 pasangan didapati berjaya hamil,manakala selebihnya masih gagal.Bagaimanapun setelah setahun mencuba,bilangan pasangan yang berjaya hamil meningkat kepada 85 hingga 93 pasangan.

Bagi pasangan yang belum hamil,peluang seterusnya untuk hamil hanyalah sekitar empat peratus.Memandangkan peluang untuk hamil masih tinggi pada tahun pertama percubaan,kebanyakan doktor lazimnya menasihatkan pasangan agar tidak tergesa-gesa mendapatkan rawatan kesuburan kerana ada kemungkinan rawatan tersebut tidak perlu untuk pasangan terbabit.

Pemeriksaan pintu rahim (serviks) menggunakan alat spekulum dan ujian papsmear juga mungkin boleh dilakukan,terutamanya jika mengalami pendarahan selepas hubungan seks.Memang itu tiada kaitan dengan kesuburan,tetapi tetap penting untuk diperiksa.