Ahad, 2 Februari 2014

Anatomi Tubuh Mama Hamil

Info

Pada minggu kelapan,fetus sudah seberat 13g (kurang daripada 1/2 aun).Mata,telinga dan telinga tengah yang mengawal keseimbangan mula terbentuk.Saluran darah mula kelihatan.Fetus sudah pandai menendang,tetapi saiznya yang masih kecil menyebabkan tendangannya tidak dapat dirasai oleh ibu.


Setiap wanita hamil mengalami perubahan diri yang berbeza di antara satu sama lain.Bagi mereka yang pertama kali merasai pengalaman ini,info ini mungkin dapat membantu anda menjangka apa yang bakal dilalui sepanjang minggu-minggu kehamilan.

Minggu Ke-12

Ketidakselesaan yang dialami sebelum ini kian lenyap.Bentuk tubuh masih berkeadaan normal memandangkan belum ada peningkatan berat badan.Berat anda hanya akan bertambah sekitar 1.2 kg (jika anda tidak mengalami masalah muntah di awal kehamilan).Bagaimanapun,payudara akan terasa lebih berat dan lembut seperti biasa.Paru-paru,buah pinggang dan jantung pula terpaksa bekerja lebih kuat kerana isipadu darah yang mengalir dalam tubuh mula meningkat.

Minggu Ke-16

Keadaan kini seharusnya lebih bertenaga kerana masalah morning sickness tidak lagi dialami.Masalah pigmentasi pula mungkin timbul di mana puting payudara dan kulit di sekelilingnya bertambah gelap.Dalam pada itu,linea nigra juga lebih jelas kelihatan menegak di sepanjang bahagian tengah perut anda.Saiz payudara akan mula membesar selepas minggu ke-17.Potongan tubuh mula berubah apabila garis pinggang kurang kelihatan bentuknya.Pada masa yang sama,perut mula menonjol.Untuk tiga bulan selanjutnya,wanita hamil adalah digalakkan untuk menambah berat badan di antara 5 hingga 7 kg.

Minggu Ke-20

Diri kelihatan berseri-seri disebabkan peningkatan hormon terutamanya pada bahagian kulit dan rambut yang kelihatan lebih sihat.Walaupum begitu,bagi yang menghadapi masalah pigmentasi kulit,ia akan kelihatan lebih ketara.Namun,anda tidak perlu risau kerana masalah ini akan hilang selepas bayi dilahirkan.Payudara akan mula menghasilkan kolostrium.Jika ada cecair yang keluar daripada payudara,lap bahagian berkenaan,tetapi jangan sesekali memicit untuk mengeluarkan cecair itu.Bahagian atas rahim kini berada pada aras yang sama dengan pusat anda.Sementara itu,sendi dan ligamen yang mula kendur boleh menyebabkan anda mengalami kesakitan di bahagian belakang badan dan masalah-masalah lain.


Minggu Ke-24

Berat badan bakal ibu semakin bertambah dan ia berlaku secara mendadak.Jangan risau kerana ini sesuatu yang normal.Selain itu,muka anda juga mungkin kelihatan membengkak.Hal ini disebabkan tubuh menyimpan air yang berlebihan.Malah,pertambahan saiz bahagian atas tubuh turut disebabkan oleh takungan air.Ketika ini bakal ibu juga kerap mengalami masalah perpeluhan kerana cenderung barasa panas.Minum lebih banyak air bagi mengelakkan masalah dehidrasi.Dalam pada itu,aerola akan lebih menonjol.Sama juga halnya dengan perut anda yang kian membesar.

Minggu Ke-28

Bahagian atas rahim berada di bahagian tengah antara pusat dengan tulang dada.Sebaik-baiknya,amalkan postur tubuh yang betul agar masalah sakit belakang dapat dikurangkan setelah berat badan semakin bertambah.Perlu diketahui,berat badan mungkin bertambah 4 kg sepanjang bulan-bulan terakhir ini.Salur darah pada payudara kelihatan semakin ketara.Begitu juga kesan regangan yang berwarna kemerah-merahan pada bahagian perut.

Minggu Ke-32

Semakin besar saiz bayi,semakin dia menekan organ dalaman anda.Hal ini mungkin menimbulkan beberapa masalah seperti sukar bernafas dan kerap membuang air kecil.Malah setiap kali ketawa,bersin atau batuk,ada kalanya anda mungkin mudah membuang air kecil tanpa sengaja.Pusat akan meregang dan leper.Manakala,garisan gelap linea nigra nampak lebih menonjol.Sendi pelvik yang turut meregang akan menimbulkan rasa ketidakselesaan di bahagian berkenaan.

Minggu Ke-36

Pundi kencing sering mengalami tekanan.Anda semakin kerap membuang air kecil berikutan tekanan daripada bayi.Kadar pertambahan berat badan akan berkurangan dan mungkin akan terhenti pada minggu ke-38.Jika jumlah pertambahan kurang daripada 13 kg,adalah mudah untuk kembali ke berat sebelum hamil selepas anda melahirkan kelak.

Minggu Ke-40

Saiz berat badan terkini kian menyukarkan pergerakan badan.Kulit terasa makin tegang terutamanya di bahagian abdomen sehingga menyebabkan masalah kegatalan.Atasinya dengan kerap menyapu minyak atau losyen khas.Pada dua minggu terakhir,berat badan anda mungkin akan turun sedikit.Keadaan ini menunjukkan bayi anda sudah cukup matang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan