Khamis, 30 Januari 2014

Lelaki Atau Perempuan Mana Satu Pilihan?

Pemilihan jantina dalam keadaan tertentu adalah dibenarkan atas alasan perubatan bagi mengelakkan penyakit berkaitan genetik yang dibawa oleh anak berjantina tertentu seperti Hemofillia (pembekuan darah) dan Duchenne Muscular Cystrophy yang hanya dialami kaum lelaki.Ia perlu dilakukan jika ada kemudahan dan kepakaran dan diterima di kebanyakan negara maju seperti di Amerika Syarikat,Britain dan Australia.

     Kesibukan membina kerjaya yang menuntut lebih banyak masa dihabiskan di luar rumah selain desakan hidup yang semakin meruncing mengakibatkan ramai ibu bapa hari ini menghadkan kuantiti anak mereka hingga tiga sahaja.

     Oleh itu,jika diberi pilihan,mereka cenderung untuk memilih sendiri jantina anak yang bakal dilahirkan.Biasanya jika pasangan sudah mempunyai seorang anak lelaki,mereka mengharapkan anak kedua yang bakal lahir itu perempuan.Begitu juga sebaliknya.

Catatan:

Fakta menyatakan jantina seseorang individu itu ditentukan oleh sepasang kromosom seks yang terkandung dalam setiap sel badan manusia.Lelaki membawa kromosom seks XY manakala wanita membawa kromosom seks XX.

     Sperma dan telur mempunyai hanya separuh bilangan kromosom lengkap.Jadi,kedua-duanya mempunyai hanya satu kromosom seks,sama ada X atau Y.

     Telur wanita membawa kromosom seks X manakala sperma lelaki membawa sama ada kromosom X atau Y.Semasa persenyawaan,jika sperma berkromosom X mensenyawakan telur,maka anak perempuan akan terhasil (kromosom seks XX).Sebaliknya,jika sperma dengan kromosom Y mensenyawakan telur,maka anak lelaki akan terhasil (kromosom seks XY).

     Meneka jantina anak di dalam kandungan merupakan pengalaman yang mendebarkan.Namun dengan kecanggihan teknologi masa kini,bakal ibu bapa boleh mengetahui jantina anak mereka dalam kandungan seawal usia kandungan lima bulan.

     Bagaimanapun bagi penganut agama islam,mereka tidak boleh terlalu yakin dan percaya 100% kerana segalanya boleh berubah dengan keizinan ALLAH S.W.T.Sewajarnya kita berserah kepada-NYA dalam menentukan jantina anak dalam kandungan.

     Harapan dan keinginan yang terlalu tinggi untuk mendapat sesuatu jantina boleh mengakibatkan kekecewaan bahkan memberi kesan yang tidak baik kepada anak yang lahir sekiranya apa yang dihajati tidak diperoleh.Oleh itu,terima sahaja apa jua jantina anak yang bakal lahir.Sama ada perempuan atau lelaki,paling penting anak yang lahir itu sihat dan sempurna.Sebagai manusia,kita hanya merancang,ALLAH S.W.T jua yang menentukan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan